OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Empangan Muda paras bahaya, takungan menyusut kepada 28.32 peratus

Empangan Muda paras bahaya, takungan menyusut kepada 28.32 peratus

PUTRAJAYA: Empangan Muda di Kedah merekodkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah, dengan takungan sehingga semalam berada pada paras bahaya iaitu 28.32 peratus.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata Empangan Muda yang menjadi satu daripada tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) satu-satunya yang menunjukkan penyusutan.

Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu berkata enam empangan lain menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran.

 

Ia membabitkan Empangan Malut di Kedah (30 peratus), Empangan Sembrong Barat di Johor (44.88 peratus), Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang (45.30 peratus), Empangan Timah Tasoh di Perlis (47.15 peratus), Empangan Bukit Merah di Perak (48.60 peratus) dan Empangan Pedu di Kedah (58.27 peratus).

Berkaitan status cuaca panas empat daerah di Semenanjung yang mencatatkan tahap berjaga-jaga pada 7 Jun, NADMA memaklumkan sehari selepas itu hanya dua daerah yang mencatatkan tahap sama.

 

Bagi status pencemaran udara, katanya, sepanjang tempoh 5 hingga 11 Jun, terdapat dua kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 116 di Cheras (Kuala Lumpur) dan 167 di Kuala Dungun, Terengganu.

Penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 96 kes

Dalam pada itu, NADMA berkata pemantauan sehingga semalam menunjukkan jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 96 kes berbanding 93 kes pada 3 Jun lalu.

Menerusi laporan ringkas status cuaca panas ini, katanya, pecahan kes mengikut diagnosis adalah 22 strok haba, 68 kelesuan haba dan enam kejang haba.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan hanya satu kes baharu kematian akibat strok haba dilaporkan pada 4 Jun lalu membabitkan lelaki berusia 31 tahun di Ulu Kinta, Perak yang menjadikan kes kematian akibat strok haba meningkat kepada empat kes.

"Tiada kes dirawat di hospital pada masa ini. Semua kes telah mendapat rawatan dan sembuh," katanya. - BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search