OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

30 minit atasi insiden banjir kilat di ibu kota

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera bagi menangani insiden banjir kilat yang melanda beberapa lokasi utama di ibu kota susulan hujan lebat pada Isnin.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan Sultan (Petaling Street), susur Jalan Travers ke Jalan Damansara, Jalan Kuching dan Jalan Segambut berhampiran Masjid Ubudiah.

Menurut kenyataan DBKL, kejadian banjir kilat ini berpunca daripada kadar aliran permukaan tinggi dalam tempoh singkat serta sistem saliran yang beroperasi pada kapasiti maksimum.

Selain itu, limpahan air sungai turut menyebabkan sistem flap gate tertutup secara automatik bagi menghalang air sungai daripada memasuki saliran bandar.

 

"Sebagai langkah segera, DBKL bersama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah sarap, daun kering, pasir dan kelodak.

"Pemantauan turut dibuat secara berterusan menerusi sistem CCTV (kamera litar tertutup). Hasil tindakan pantas ini, kesemua kawasan terjejas pulih dalam tempoh 30 hingga 40 minit tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan serius," ujar DBKL dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu bagi mencegah kejadian berulang, DBKL turut merangka beberapa tindakan jangka sederhana termasuk menaiktaraf sistem saliran dan outlet air serta kerja korekan kelodak secara berkala.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca tambahan, termasuk potensi aliran lumpur dari kawasan berbukit," ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 100 petugas turut digerakkan ke lapangan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

"DBKL komited untuk mempertingkat kecekapan sistem saliran bandar menerusi pelaksanaan Program Mitigasi Banjir Jangka Sederhana yang sedang berjalan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran dan segera melaporkan sebarang halangan kepada DBKL.

“Keselamatan dan kesejahteraan warga kota sentiasa menjadi keutamaan kami,” tegas DBKL dalam kenyataan tersebut.

Ramal petanda gempa bumi dengan teknologi di angkasa

KEJADIAN gempa bumi di Myanmar pada bulan lepas menggemparkan kita semua yang tengah sibuk meningkatkan ibadat diakhir Ramadan apatah lagi berlakunya pada Jumaat, penghulu segala hari.

Tanggal 28 Mac (27 Ramadan) lepas meninggalkan kenangan yang menyayat hati buat penduduk di Myanmar dan juga Thailand. Walaupun kedudukan negara kita yang agak terlindung daripada bahaya Lingkaran Api Pasifik yang sinonim dengan kejadian gempa ini, namun gegaran tetap dirasai di sekitar utara Semenanjung Malaysia.  

Begitu juga dengan kejadian-kejadian gempa bumi di negara-negara jiran sebelum ini seperti di Padang, Sumatera dan Davao, Filipina yang gegarannya boleh dirasai di Lembah Klang. Gempa bumi di Ranau dan Lahad Datu, Sabah suatu masa dahulu cukup mengajar kita untuk lebih berhati-hati walaupun tidak meragut nyawa yang banyak dan kurang mendatangkan ancaman kepada negara kita.

Namun begitu, kejadian-kejadian gempa di negara jiran boleh diibaratkan sebagai amaran awal buat kita dan perlunya siap siaga dengan sebarangan kemungkinan yang dasyat seperti kejadian gempa bumi di Myanmar yang telah meragut nyawa lebih dari 3,000 orang sehingga kini. Pokoknya, adakah kita di Malaysia sudah bersedia? 

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 skala Richter dan diikuti oleh gempa susulan dengan magnitud 6.4, sepatutnya boleh diramalkan.  

Gempa bumi dengan sifatnya tersendiri seperti kedalaman, magnitud dan jarak epipusat dan keadaannya yang setempat agak sukar untuk dikaitkan dengan gempa bumi di tempat lain. Contohnya, sifat kejadian gempa bumi di Sumatera mungkin tidak sama dengan gempa di Myanmar ini.  

 Namun hampir sedekad yang lalu, berbagai penyelidikan dijalankan untuk menghubungkaitkan teknologi di angkasa bagi peramalan gempa bumi melalui pemerhatian data dari medan geomagnet, kandungan elektron lapisan atmosfera atas, penghantaran gelombang radio berfrekuensi rendah, pelepasan gas radon dan sebagainya.  

 Malah kejadian kilat sabung menyabung di langit juga boleh menjadi petanda gempa bumi. Petanda awal boleh dikesan bila berlakunya kejanggalan luar biasa dari data yang cerap. Sebagai contoh penyelidikan yang dijalankan di Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memerhatikan sifat medan geomagnet, kilat  dan kandungan elektron bebas dilapisan ionosfera iaitu di atmosfera atas.  

 Secara umumnya kerak bumi sentiasa bergerak perlahan-lahan dan menghasilkan gelombang elektromagnet dengan frekuensi yang rendah. Pun begitu, ada kalanya gelombang ini boleh mengganggu dan menghasilkan kejanggalan kepada medan geomagnet yang boleh dicirikan.  

Kandungan elektron bebas di angkasa juga boleh terkesan dengan kejadian kilat yang menyambar dari awan ke awan. Begitu juga dengan gas radon yang dibebaskan sebelum kejadian gempa bumi. Semua kejanggalan data yang dicerap ini boleh dicirikan dengan adanya teknologi canggih sekarang, dan dengan itu pemantauan masa nyata dapat dijalankan secara berterusan.  

 Usaha pemerhatian petanda dan peramalan gempa bumi ini memerlukan kerjasama secara global. Setelit buatan yang bertaburan mengelilingi bumi dapat mencerap data ini dan ada yang boleh diperolehi dengan percuma. Antara sistem satelit yang boleh digunakan untuk memantau petanda gempa bumi antranya adalah seperti Sistem Global Positioning System (GPS) dan Global Navigation Satellite System (GNSS), yang dapat melihat kejanggalan dalam jumlah kandungan elektron lebih kurang 10 hari sebelum kejadian di Myanmar.

Satelit ini juga boleh digunakan untuk menjejaki pergerakan dan perubahan bawah tanah sebelum gempa bumi. Selain itu China Seismo-Electromagnetic Satellite(CSES) boleh mengesan gangguan pada medan geomagnet yang berkaitan dengan aktiviti seismik dan juga  jumlah kandungan elektron, manakala Synthetic Aperture Radar (SAR) yang menggunakan radar pula boleh mengesan pergerakan tanah dari peta inSAR seperti Sentinel-1 dan ALOS. 

 Penemuan dari hasil kajian para penyelidik dapat membuktikan bahawa petanda gempa bumi dapat dikesan dan diramalkan melalui gabungan teknologi di bumi dan angkasa yang berpotensi luas untuk dikembang dan direalisasikan, misalnya melalui penderian in situ, simulasi di makmal dan penerapan pembelajaran mesin bagi membangunkan sistem peramalan masa nyata. Gabungan kaedah ini akan dapat melihat petanda gempa bumi seawal sebulan sebelum kejadian.  

 Selari dengan Matlamat Pembagunan Mampan (SDG) secara global dan demi kemanusian serta dengan ketersediaan data raya dan capaian internet pantas yang meluas diperignkat global dapat memacu usaha peramalan ini. Apatah lagi dengan penggunaan teknologi quantum suatu masa nanti. Melalui peramalan masa nyata yang pintar secara berterusan ini dapat melindungi nyawa dan harta benda secara maksimum.  

 Dengan hal yang demikian di negara kita, pemantauan yang berterusan untuk peramalan masa nyata ini hanya akan dapat dijalankan dengan adanya kerjasama diantara institusi penyelidikan tinggi dan agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Angkasa Malaysia (MySA), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.  

 

Oleh Prof. Ir. Dr. Mardina Abdullah, Ketua, Kumpulan Penyelidikan Sains dan Teknologi Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) .

 

Pembinaan Jambatan Bailey ganti Jambatan Sungai Liat Runtuh, siap 30 April Ini

IPOH, 22 April - Pembinaan Jambatan Bailey bagi menggantikan Jambatan Sungai Liat yang runtuh Sabtu lalu akan bermula esok dan dijangka boleh digunakan pada 30 April ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pembinaan jambatan sehala sepanjang 46 meter itu turut melibatkan kerja membaik pulih jalan sedia ada yang digunakan orang awam ketika ini.

Menurut beliau, buat masa ini ada jalan pilihan lain yang disediakan sepanjang 1.7 kilometer bagi penduduk setempat, namun struktur jalannya tidak sempurna.

"Kita harap ia akan dapat disiapkan seperti jangkaan kita, memandangkan jambatan itu digunakan setiap hari oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan ini," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi runtuhan di Felda Sungai Klah, di sini. Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin.
 
Menurut beliau, jambatan baru akan dibina bagi menggantikan jambatan yang runtuh namun bergantung kepada peruntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan pusat.

Sabtu lalu, Jambatan Sungai Liat yang yang menjadi laluan utama laluan ke Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Tisong, Sungkai dan Buyong Mas Sanctuary Camp Site runtuh dikatakan berpunca daripada hakisan yang dikenal pasti berlaku sehingga menjejaskan struktur jambatan tersebut.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sebuah jambatan Bailey akan dibina bagi menggantikan sementara jambatan tersebut.

Ahmad berkata sebuah jambatan kekal dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta akan dibina di lokasi tersebut.

Sementara itu Salina berkata pihaknya berharap jambatan itu dapat disiapkan seperti dijangka, memandangkan buat masa ini penduduk di kawasan terjejas terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke pekan Sungkai.

“Bagaimanapun laluan alternatif sepanjang 1.7 kilometer itu perlu melalui jalan kebun sawit, selain hanya boleh dilalui atau digunakan oleh mereka yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda sahaja,” katanya.

Pembinaan RTB Sungai Pinang dijangka siap suku ketiga 2027 - Chow

GEORGE TOWN: Pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang di sini dijangka dapat disiapkan pada suku ketiga 2027.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek berkenaan ketika ini menepati jadual pelaksanaan dengan mencapai kemajuan 24 peratus.
 
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial selepas meninjau kerja pembinaan struktur dua komponen utama RTB Sungai Pinang iaitu piano weir dan longkang monsun di Kampung Jawa di sini hari ini.
 
Menurut Chow pembinaan komponen berkaitan adalah bermula dari jambatan Jalan Jelutong dan berakhir di penghujung jambatan di Jalan Perak.
 
"Dengan siapnya komponen berkaitan, banjir atau limpahan air sungai dapat dielakkan di sebahagian kawasan hilir manakala kualiti air ditingkatkan ekoran air dari longkang akan terus disalurkan ke bahagian hilir dan impak air pasang dapat dikurangkan," katanya.
 
Kerajaan negeri sebelum ini memaklumkan RTB Sungai Pinang merupakan rancangan tebatan banjir terbesar di Pulau Pinang yang akan memberi kesan positif berhubung masalah banjir bukan sahaja di kawasan Sungai Pinang malah turut melibatkan lokasi berhampiran termasuk bandar raya George Town.
 
-- BERNAMA

Ribut petir, hujan lebat melanda beberapa negeri hingga 6 petang ini

KUALA LUMPUR – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di negeri- negeri sehingga jam 6 petang ini.

Jabatan Meteorologi berkata, kawasan terbabit di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang dan Sik), Pahang (Rompin), Melaka (Jasin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Selain itu, Sarawak: Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang dan pedalaman Sabah (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan).

Menurutnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – MalaysiaGazette
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search