KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengambil alih pengurusan bencana dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri jika bencana itu berada pada tahap III.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengurusan bencana tahap III ialah pengendalian bencana yang berlaku lebih daripada satu negeri atau bersifat kompleks di suatu kawasan, sehingga memerlukan penyelarasan dan penggemblengan sumber di peringkat pusat atau dengan bantuan dari luar negara.
Katanya, mekanisme pengurusan bencana itu dikuatkuasakan melalui dasar baharu iaitu arahan NADMA Nombor 1 yang ditambahbaik daripada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 sejak Ogos lalu.
"Di dalam arahan itu, ia tidak hanya spesifik kepada pengurusan dan pengendalian bencana banjir sahaja, malah kepada keseluruhan jenis insiden bencana yang pernah berlaku di negara kita.
"Namun sekiranya sesuatu bencana membabitkan lebih daripada satu negeri, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat negeri masing-masing, ia masih lagi boleh dianggap sebagai bencana tahap II," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan arahan NADMA Nombor 1 akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata menerusi arahan itu, kerajaan menekankan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Pada masa sama, Khairul Shahril berkata pengurusan bencana tahap I ialah pengendalian bencana yang berlaku di sesuatu kawasan dan ia dapat ditangani dengan berkesan oleh agensi terbabit di dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, yang memerlukan penggemblengan sumber di peringkat daerah dengan bantuan terhad daripada peringkat negeri dan Pusat.
Katanya, sementara pengurusan bencana tahap II pula ialah pengendalian kejadian bencana yang berlaku lebih daripada satu daerah di negeri sama atau berlaku di suatu kawasan yang memerlukan penggemblengan
sumber di peringkat negeri dengan bantuan terhad daripada peringkat Pusat.
"Namun, sekiranya sesuatu bencana membabitkan lebih daripada satu daerah, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat daerah, ia masih lagi boleh dianggap sebagai bencana tahap I.
"Walaupun NADMA tidak terbabit secara langsung untuk pengurusan bencana tahap I dan tahap II, kita masih menyelaras dari segi penggemblengan aset dan juga tenaga kerja yang membabitkan agensi kerajaan Pusat," katanya.
Mengulas mengenai jangkaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) seawal minggu keempat bulan ini, Khairul Shahril berkata, persediaan NADMA adalah berada dalam posisi terbaik.
Katanya, dalam memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum, NADMA sentiasa mengadakan latihan amal sepanjang tahun membabitkan agensi tindak balas, pengurus bencana serta badan bukan kerajaan (NGO).
"Kejadian bencana atau banjir sememangnya kita tidak boleh membuat jangkaan namun persediaan dalam menghadapi dan menguruskan bencana itu harus berada di tahap terbaik.
"Dalam aspek ini bagi memastikan semua agensi tindak balas dan pihak terbabit dalam pengurusan bencana di pelbagai peringkat, bersedia untuk memainkan peranan masing-masing apabila berlaku bencana.
"Perkara ini penting supaya semua yang terbabit ada pengalaman dalam mengendalikan sesuatu operasi bencana," katanya.
Sebelum ini,Ahmad Zahid menyatakan MTL dijangka bermula seawal minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November.
Khairul Shahril berkata pemantauan mengenai sebarang kebarangkalian berlaku bencana juga sentiasa dilaksanakan secara bersama dengan Sekretariat Bencana Daerah dan Negeri.
Katanya, bagi agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) pula akan membuat pemantauan pada cerun yang kritikal dan berisiko.
"Selain itu, NADMA juga melaksanakan program kesedaran awam Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dengan pelbagai sesi libat urus dijalankan bersama komuniti setempat terutama kepada penduduk yang tinggal di kawasan banjir.
"Ini bagi mempersiapkan mereka supaya mampu untuk bertindak tanpa menunggu bantuan dari agensi tindak balas ketika berlaku banjir," katanya.
Khairul Shahril meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Sentiasa peka dan patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya perlu untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara. Utamakan keselamatan, lindungi diri dan orang tersayang," katanya.
ALOR STAR: The number of flood evacuees in Kedah has slightly decreased to about 3,400 as weather conditions improved this afternoon.
According to a 4pm update from the Kedah Disaster Management Committee Secretariat, there are currently 3,474 evacuees from 1,113 households being sheltered in 24 temporary flood relief centres (PPS).
This reflects a slight decline from the 3,503 evacuees reported earlier today, despite increases in Kota Setar and Pendang.
In Kota Setar, the number of evacuees has risen to 1,260 from 392 families, up from 1,197 from 373 families earlier.
In Pendang, 470 evacuees from 125 families are now in two PPS, an increase from 433 evacuees.
Conversely, Kubang Pasu saw a decline, with 1,227 evacuees from 412 families currently in nine PPS, down from 1,324.
Pokok Sena also experienced a decrease, with numbers dropping from 549 evacuees to 517 across 184 families in four PPS.
Meanwhile, the Drainage and Irrigation Department's Public Infobanjir website indicated that five rivers in Kubang Pasu and Kota Setar had breached danger levels and are on the rise.
KOTA BHARU: Kelantan menyediakan 19,619 aset pelbagai jenis yang diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan dalam menghadapi musim tengkujuh, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata kesemua jumlah aset yang merangkumi pelbagai jenis kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, set jana kuasa dan peralatan lain itu adalah lebih besar jika dibandingkan dengan 17,147 aset tahun lepas.
“Kerajaan negeri memandang serius ramalan Jabatan Meteorologi bahawa Kelantan dijangka menerima hujan lebat bermula Nov ini hingga Feb 2025.
“Kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat di negeri ini sepanjang musim tengkujuh sentiasa menjadi keutamaan kerajaan untuk dilaksanakan secara bersepadu antara agensi Persekutuan dan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi kerajaan menyediakan sebuah depoh simpanan keperluan bencana, 17 stor bencana dan lebih 160 pengkalan hadapan di seluruh negeri yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata selain itu 7,209 anggota dan petugas yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahana Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 10 agensi lain juga sudah bersiap sedia untuk digerakkan ke kawasan yang memerlukan.
“Jumlah keanggotaan berkenaan juga bertambah berbanding 7,147 anggota tahun lepas,” katanya.
SHAH ALAM – Sebanyak sembilan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Selangor dikenal pasti sebagai projek sakit yang perlu segera diselesaikan menjelang musim tengkujuh bakal melanda negeri ini kelak.
Projek itu meliputi beberapa isu kritikal termasuk melibatkan RTB Batu 7, Ijok, Kuala Selangor yang mengalami ban pecah hingga banjir teruk minggu lalu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, kerajaan negeri mempunyai sebanyak 41 RTB dengan peruntukkan kos bernilai RM482 juta.
Menurut beliau, projek itu sebahagiannya sedang dilaksanakan dan dalam proses reka bentuk oleh pihak syarikat kontraktor yang dilantik.
“Namun, kita mendapati sembilan daripada RTB itu bermasalah dan dikategorikan sebagai projek sakit antaranya kerana masih tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Projek itu melibatkan RTB di Sungai Buloh, Ijok, Sungai Kayu Ara dan anak sungainya, Sijangkang, Sungai Kandis, Sungai Kembong, Taman Mutiara Bukit Raja serta Sungai Pinang,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan Persekutuan telah meluluskan lima projek tebatan banjir berimpak tinggi dengan kos bernilai RM2.25 bilion di Selangor. – KOSMO! ONLINE
PUTRAJAYA - Sistem amaran banjir terutamanya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) akan ditambah baik dengan sistem pintasan kecemasan bagi memberi amaran menerusi pesanan tetingkap timbul (pop-up alert) yang dihantar ke telefon pintar, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, beberapa negara telah melaksanakan sistem pemakluman bencana menerusi sistem pintasan kecemasan ke telefon pintar dan tidak lagi bergantung pada sistem pesanan ringkas (SMS) atau siren semata-mata.
"Saya akan bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) apa yang boleh dilakukan dengan syarikat telekomunikasi untuk membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
"Ini untuk memaklumkan rakyat terutama di sesuatu kawasan, selain daripada amaran siren banjir, mungkin melalui telefon mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini. Kita akan teliti kemudahan itu," katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini
Turut hadir, Timbalan Menteri Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
