PETALING JAYA – Hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang yang berlaku di beberapa daerah sekitar Kedah sejak pagi tadi dijangka berlarutan hingga ke petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat adalah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang dan Kuala Muda.
KUALA LUMPUR: Hospital Medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula diatur gerak ke Myanmar, esok dalam misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke negara itu yang teruk dilanda gempa bumi pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata persiapan menghantar hospital berkenaan sudah disempurnakan dan kini hanya menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa Myanmar berhubung lokasi yang sesuai bagi menempatkan kemudahan tersebut.
"Kita sudah bersedia untuk hantar pada esok (16 April) dan kerajaan sudah pun bersetuju menampung segala keperluan perbelanjaan.
"Kita hanya menunggu pihak Myanmar untuk memberikan lampu hijau di mana hospital medan ini nak diwujudkan. Jadi kita sudah bersedia, hari ini dia beritahu (lokasi untuk hospital medan), esok kita sudah boleh hantar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2025 di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH, di sini hari ini.
Mohamed Khaled sebelum ini memaklumkan seramai 35 pegawai perubatan akan dihantar ke Myanmarsusulan persetujuan kerajaan untuk ATM menyediakan kemudahan hospital medan di Myanmar atas permohonan negara itu, baru-baru ini.
Beliau turut dilaporkan berkata, objektif operasi hospital medan itu ialah untuk menjalankan serta memberi rawatan ortopedik dan trauma, menyediakan pembedahan kecemasan untuk mangsa (gempa bumi) yang mengalami patah tulang dan sebagainya, supaya dapat mengurangkan risiko kecacatan pada mereka.
Selain itu, katanya pasukan perubatan ATM juga akan mengambil peluang untuk memberi kerjasama melatih pasukan perubatan Myanmar dalam soal 'capacity building' (pengukuhan keupayaan) dari sudut kesihatan.
Difahamkan, pesawat membawa hospital medan bersama pasukan perubatan ATM dijadualkan akan berlepas ke Myanmar dari Pangkalan Udara Subang, Selangor pada jam 4.30 pagi nanti.
Sabtu lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata kerajaan akan menghantar hospital medan dan bantuan kemanusiaan termasuk pasukan perubatan ke Myanmar.
Katanya, Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.
Gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala richter yang melanda wilayah tengah Myanmar pada 28 Mac lalu itu, meragut lebih 300 nyawa dan mencederakan ribuan yang lain, selain menyebabkan kemusnahan besar di beberapa kawasan utama termasuk Magway, Bago dan Mandalay.
Insiden itu menyaksikan ratusan struktur bangunan termasuk sekolah, hospital dan rumah ibadat runtuh, manakala kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan dan bekalan elektrik turut terjejas teruk.
Ribuan penduduk kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara dengan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan air bersih yang semakin meruncing.
Kerajaan Myanmar mengisytiharkan beberapa kawasan terjejas sebagai zon bencana dan merayu bantuan daripada komuniti antarabangsa.
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu meluluskan segera permohonan bantuan untuk membantu mangsa hakisan pantai yang terjejas teruk semasa musim tengkujuh, baru-baru ini.
Mohd. Shafizi Ismail (Pas-Batu Rakit) berkata, senarai mangsa yang terlibat telah dihantar dalam permohonan rasmi untuk tindakan lanjut bagi meringankan beban kewangan mereka yang terkesan akibat bencana itu.
“Saya mohon perhatian segera oleh kerajaan negeri untuk meluluskan permohonan ini. Selain itu, saya ingin tahu bilakah kerja-kerja baik pulih laluan pantai di Mengabang Telipot ke Batu Rakit yang rosak teruk akibat hakisan bermula,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau juga mahukan penjelasan terperinci sama ada projek pemecah ombak yang sedang dibina sekarang yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 akan mampu menyelesaikan isu hakisan tersebut.
Dalam musim tengkujuh tahun lalu, kawasan Batu Rakit adalah lokasi paling teruk terjejas akibat hakisan hingga menyebabkan kerugian besar dalam kalangan pemilik resort, chalet, kedai makan dan kediaman penduduk di pesisir pantai tersebut. – UTUSAN
AMERIKA SYARIKAT: Pihak berkuasa bandar Dyersburg, Tennessee mengeluarkan arahan pemindahan wajib bagi kawasan South Dyersburg selepas Sungai North Fork of the Forked Deer melimpah sehingga ke bahagian South Main Street.
Menurut laporan media tempatan, pasukan penyelamat Daerah Dyer dilihat menjalankan operasi menyelamat di kawasan berhampiran persimpangan South Main Street dan Christie Street. Walaupun beberapa jalan ditutup, pusat bandar Dyersburg masih belum terjejas oleh banjir setakat ini.
Rakaman dron yang dikeluarkan pada Isnin oleh Bandar Dyersburg menunjukkan kru penyelamat membawa seorang wanita dan seorang kanak-kanak ke tempat selamat.
Reuters mengesahkan lokasi rakaman tersebut apabila papan tanda dan susun atur jalan sepadan dengan imejan pandangan jalan dan gambar arkib. Namun, tarikh rakaman tidak dapat disahkan secara bebas oleh Reuters. REUTERS
BAGHDAD: Lebih 1,000 orang mengalami masalah pernafasan selepas ribut pasir melanda bahagian tengah dan selatan Iraq, menurut pegawai kesihatan.
Pegawai di wilayah Muthanna memberitahu agensi berita AFP, sekurang-kurangnya 700 kes sesak nafas dilaporkan.
Rakaman yang dikongsi dalam talian menunjukkan kawasan diselebungi jerebu jingga tebal, dengan media tempatan melaporkan gangguan bekalan elektrik dan penggantungan penerbangan di beberapa wilayah.
Ribut debu adalah kejadian biasa di Iraq, namun sesetengah pakar percaya fenomena itu semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.
Orang ramai dan polis memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada debu, manakala pasukan paramedik turut dikerahkan bagi membantu individu yang mengalami kesukaran bernafas.
Hospital di wilayah Muthanna, selatan Iraq, menerima sekurang-kurangnya 700 kes sesak nafas, kata pegawai kesihatan tempatan.
Ribut pasir itu menyelubungi wilayah selatan Iraq dalam awan jingga yang mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada satu kilometer.
Pihak berkuasa terpaksa menutup operasi lapangan terbang di wilayah Najaf dan Basra akibat keadaan cuaca yang teruk.
Keadaan dijangka beransur pulih menjelang Selasa, menurut perkhidmatan cuaca tempatan.
Iraq disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu daripada lima negara paling terdedah kepada perubahan iklim, dengan kejadian ribut pasir, suhu panas melampau dan kekurangan sumber air.
Ribut pasir teruk pada 2022 meragut satu nyawa dan menyebabkan lebih 5,000 orang memerlukan rawatan bagi masalah pernafasan.- BBC