OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Kebimbangan memuncak

Sungai Besar: Penduduk di pekan Simpang Lima meluahkan kebimbangan terhadap keadaan beberapa pokok tua dan uzur di sekitar kawasan itu yang kini dianggap berisiko tinggi untuk tumbang, terutama pada musim hujan dan ribut petir.

Kebimbangan itu memuncak selepas kejadian sebatang pokok angsana yang patah sebelum menghempap sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Lima, baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku ketika waktu pulang sekolah, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.

Penduduk, Sarimah Abdul Hamid, 35, berkata, kebanyakan ibu bapa kerap menunggu anak di bawah pokok sama, tanpa menyedari risiko yang ada.

Sarimah mendakwa ada sekurang-kurangnya 16 pokok berusia lebih 60 tahun di sepanjang jalan utama berhampiran sekolah itu dan lima daripadanya berada dalam keadaan yang sangat uzur.

Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemeriksaan segera dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk pemangkasan atau penebangan pokok yang berisiko.

"Bagi saya, kalau boleh tebang tebang semua sekali kerana ia boleh membahayakan penduduk.

"Apa jaminan keselamatan untuk kami kalau pihak berkuasa sekadar browning dahan pokok?" katanya.

Sarimah berkata, ketika waktu persekolahan iaitu Isnin hingga Jumaat kawasan itu sesak dengan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.

"Bayangkan kalau pokok itu tiba-tiba tumbang dan menghempap orang ramai. Sudah tentu ada nyawa yang melayang.

"Sepatutnya dari tahun lalu pokok ini ditebang. Ditambah pula dengan sarang tebuan di dahan menunggu waktu untuk jatuh," katanya.

Bagi rakannya, Nur Safirah Syuhada Zulkapli, 34, berkata, masalah itu dilihat berlanjutan sehingga penduduk terpaksa membuat laporan berkali-kali kepada ketua kampung.

Katanya, ada peniaga yang sebelum ini berniaga di bawah pokok terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat selepas kejadian yang berlaku tempoh hari.

"Kami risau kalau pokok ini menghempap murid sekolah kerana mereka sering bermain di bawahnya selepas tamat waktu persekolahan.

"Kejadian pokok tumbang baru-baru ini tiada angin dan ribut, tahu-tahu kereta sudah dihempap," katanya.

Seorang lagi penduduk, Faridah Fadzil, 46, pula meminta pihak berkuasa supaya mengurangkan karenah birokrasi ketika penduduk kampung meminta pertolongan.

"Insiden tempoh hari sangat memeningkan kami. Apa tidaknya ketika menghubungi pihak berwajib, mereka menolak antara satu sama lain dengan mengatakan pokok yang tumbang bukan di bawah kawasan masing-masing.

"Dengan kerja pembersihan pokok tumbang mengambil masa sekurang-kurangnya sejam, sudah tentu ia menyukarkan perjalanan penduduk yang menggunakan laluan itu," katanya.

 

Hujan, ribut petir diramal malam sepanjang minggu ini - MetMalaysia Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa keadaan cuaca sebelum melakukan aktiviti di laut terutama pada waktu petang dan malam.
 
Pengarahnya Rosli Zakaria berkata berdasarkan ramalan pihaknya, sepanjang minggu ini iaitu hari ini (Ahad) hingga Sabtu, hujan dan ribut petir dijangka kerap melanda pada waktu petang dan malam.
 
"Kita sekarang berada dalam musim Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September atau Oktober, tetapi bagi negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu, sepanjang minggu ini cuaca dijangka hujan dengan ribut petir di sebelah petang dan malam.
 
"Kalau ribut petir, ia akan bawa sekali angin kencang dan ombak yang tinggi di kawasan pantai. Jadi saya nak nasihatkan sebab sekarang ini sedang rancak musim mencandat sotong, dengan cuaca yang tidak menentu ini semua pihak perlu berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang awam dan komuniti laut untuk merujuk ramalan kaji cuaca yang disediakan melalui pelbagai platform termasuk laman sesawang MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 sebelum melakukan sebarang aktiviti.
 
Dalam kejadian pada 10.30 malam tadi, tiga termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan tiga tahun maut dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian.
 
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu dalam sidang media hari ini berkata dalam kejadian itu, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, dan saudara mereka V. Vennpani, 10, maut manakala 12 lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun kritikal dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
 
Katanya kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot yang membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam.
 
-- BERNAMA

11 maut, 7 cedera dalam runtuhan lombong emas di Sudan

KHARTOUM - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah lombong emas runtuh di timur laut Sudan, menurut Syarikat Sumber Mineral milik kerajaan pada Ahad, lapor Xinhua.

Kejadian berlaku di lombong Kersh Al-Feel yang terletak di kawasan Houeid, menurut kenyataan syarikat itu. Bagaimanapun, tarikh sebenar kejadian tidak dinyatakan.

Syarikat berkenaan memaklumkan bahawa lombong itu sebelum ini telah diarahkan tutup atas sebab-sebab keselamatan.

Dalam kenyataan itu, syarikat turut memberi jaminan akan terus memantau aktiviti perlombongan serta mempertingkatkan piawaian keselamatan. Ia turut menggesa semua pelombong agar mematuhi peraturan keselamatan dan alam sekitar yang ditetapkan.

 

Perlombongan tradisional menyumbang sebahagian besar kepada pengeluaran emas Sudan, namun sektor ini sering menyaksikan kejadian kemalangan disebabkan tahap keselamatan yang rendah serta kemudahan infrastruktur yang usang.

Menurut data rasmi, seramai 1.5 juta pelombong kecil menyumbang hampir 80 peratus daripada keseluruhan pengeluaran emas Sudan, yang dianggarkan berjumlah sekitar 64 tan pada 2024. - Bernama

2 anggota bomba maut ditembak ketika padam kebakaran di Idaho

IDAHO: Dua anggota bomba maut selepas diserang hendap ketika cuba memadam kebakaran hutan di Gunung Canfield, Idaho, semalam.

Menurut Pejabat Sheriff Daerah Kootenai, seorang lelaki ditemui mati bersama sepucuk senjata api di lokasi kejadian pada malam hari sama, dipercayai suspek yang melepaskan tembakan terhadap pasukan bomba.

“Pasukan SWAT menjumpai mayat seorang lelaki di Gunung Canfield bersama senjata api berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan penemuan itu, arahan ‘berkurung di tempat’ ditarik balik, namun kebakaran di kawasan gunung difahamkan masih aktif.

Selain itu, serangan yang menggunakan senjata berkuasa tinggi itu menyebabkan pihak berkuasa melancarkan operasi mengepung kawasan selama beberapa jam.

Sebelum ini, Sheriff Robert Norris mengesahkan dua mangsa yang maut dipercayai anggota bomba.

Ketua Bomba tempatan, Pat Riley berkata, beliau amat “hancur hati” dengan tragedi itu. “Kami belum mengarahkan pemindahan kerana api masih marak, dan pasukan belum dapat akses ke kawasan kebakaran,” katanya kepada stesen TV KHQ.

Dalam pada itu, Gabenor Idaho, Brad Little turut menzahirkan kesedihan beliau menerusi satu hantaran di Facebook dengan menyifatkan serangan terbabit sebagai ‘serangan kejam secara langsung terhadap wira bomba’.

Dalam perkembangan sama, menurut Gun Violence Archive, sebanyak 189 kejadian tembakan besar direkodkan di negara itu tahun ini, dengan sekurang-kurangnya empat mangsa dalam setiap kejadian tidak termasuk penyerang.

 

 

'Pemandu bot sudah nasihat, mereka tetap mahu balik walau cuaca buruk'

BESUT - Kejadian tragis melibatkan sebuah bot penumpang terbalik yang meragut tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak di perairan Pulau Perhentian malam Sabtu lalu dipercayai berpunca daripada cuaca buruk yang melanda secara tiba-tiba.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulau Perhentian, Nik Zawawi Mohd Nor berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke penginapan selepas menonton pertunjukan api di Long Beach, Pulau Perhentian Kecil.

"Keadaan cuaca pada awal malam itu kelihatan baik, namun mula berubah sekitar jam 9 malam sebelum ribut kuat melanda.

"Pemandu bot ada memaklumkan bahawa dia telah menasihati penumpang supaya menangguhkan perjalanan pulang atas faktor keselamatan, namun mereka tetap mahu balik ke resort," katanya ketika dihubungi Sinar Harin di sini pada Isnin.

 

Beliau berkata, bot yang membawa 15 penumpang itu hanya mengambil masa sekitar 10 minit perjalanan merentasi jarak kira-kira empat kilometer dari Long Beach ke kawasan penginapan di Pulau Perhentian Besar.

"Kalau mereka boleh tunggu dalam dua hingga tiga jam lagi mungkin tragedi ini tidak berlaku.

"Lagipun ramai penumpang lain yang terkandas mereka sanggup tunggu lama semata-mata mahu pastikan cuaca benar-benar pulih.

"Malangnya dalam insiden ini, bot itu terbalik kerana dihempas ombak besar, hanya beberapa meter dari resort yang mereka duduk," ujarnya.

Tambah Nik Zawawi, ribut kuat yang melanda pada malam itu hanya reda sekitar jam 11.30 malam.

Bagaimanapun, katanya, usaha menyelamat segera digerakkan sebaik kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

"Penduduk setempat dan pihak berkuasa mengambil langkah segera menyelamatkan mangsa yang terlibat.

"Tragedi ini amat menyedihkan kerana ia melibatkan keluarga dan anak kecil. Ia berlaku secara tiba-tiba akibat faktor alam yang sukar dijangka," katanya.

Dalam pada itu, Nik Zawawi berkata, operasi bot atau lebih dikenali sebagai 'water taxi' di pulau itu biasanya bergerak secara fleksibel dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada waktu operasi seperti dinyatakan dalam lesen.

"Kita akui, mengikut lesen Jabatan Laut memang bot penumpang tidak dibenarkan beroperasi pada waktu malam.

"Tetapi bagi penduduk dan pelancong di sini, bot merupakan keperluan kerana ia pengangkutan utama kami di sini. Ia digunakan pada bila-bila masa, berbeza dengan daratan," katanya.

Tragedi bot terbalik pada malam Sabtu lalu mengorbankan tiga mangsa iaitu S Arumugam, 40 dan anaknya, A Sarrvihka, 3, dan seorang lagi kanak-kanak perempuan, VR Vennpani, 10.

Seorang lagi kanak-kanak, TS Sakthivel, 6, dilaporkan masih kritikal dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Difahamkan, kesemua mangsa datang dari Butterworth, Pulau Pinang dan Sungai Petani Kedah untuk bercuti bersama keluarga dan telah mendaftar masuk ke sebuah resort di pulau berkenaan sejak Jumaat lalu.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengesahkan satu siasatan penuh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti aspek keselamatan operasi bot.

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search