PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pemaju LRT3 diarah kemuka cadangan selesai masalah kekerapan banjir

Pemaju LRT3 diarah kemuka cadangan selesai masalah kekerapan banjir

SHAH ALAM: Pemaju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diarah mengkaji punca dan mengemukakan cadangan bagi mengatasi banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa lokasi di Selangor termasuk di depan Pasar Borong Meru dan Sekolah Tinggi Klang, dekat sini, susulan pelaksanaan projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, berkata antara perkara perlu diteliti dan diambil kira pihak LRT3 ialah melakukan kerja pembersihan parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga Sungai Klang dan menyemak pembinaan serta mengubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota.

"Masalah air bertakung juga terjadi apabila berlaku hujan lebat yang melampau pada ketika air laut pasang besar.

"Ia akan mengakibatkan berlaku aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnya menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan air bertakung," katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) mengenai punca air bertakung di perparitan sepanjang LRT3 terutama di depan Pasar Borong Meru dan padang Sekolah Tinggi Klang, setiap kali hujan lebat.

 

Sze Han berkata, antara punca utama dikenal pasti penyumbang berlaku air bertakung ialah sekatan di hilir perparitan ke sungai, terdapat mendapan dan sampah sarap serta halangan utiliti yang menyekat aliran perparitan. 

"Dalam hal ini, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sudah berbincang dengan pihak LRT3 dan pemaju diarah membuat semakan, mengkaji punca kekerapan banjir, seterusnya mengemukakan langkah penyelesaian kepada masalah terbabit," katanya.

Sementara itu, Sze Han berkata, status kemajuan keseluruhan projek LRT3 mencapai kadar 93.88 peratus setakat Januari lalu dengan status kemajuan infra di Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan ialah 99.24 peratus, dan status kemajuan Bandar Baru Klang bagi pembinaan stesen sebanyak 91.03 peratus.

Beliau berkata, projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025. – BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search