MESYUARAT PENGURUSAN BENCANA PUSAT (JPBP) BILANGAN 3 TAHUN 2022 BERSAMA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI, DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
13 DISEMBER 2022 - Petang ini YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 3 bagi tahun 2022.
Secara amnya, YAB Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan mekanisme pengurusan bencana yang dilihat telah berjalan dengan baik diperingkat daerah dan juga negeri. Mengambil iktibar daripada kejadian banjir sebelum ini, keberkesanan operasi, tindakan proaktif dan penyelarasan berkesan daripada JPBN dan JPBD adalah amat penting bagi memastikan tindakan menguruskan bencana dapat dilaksanakan dengan cepat, teratur dan berkesan.
YAB TPM berharap Pengerusi JPBN dan JPBD tekal merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui dasar, pelan tindakan, program, serta projek yang bermanfaat dan sesuai dengan risiko bencana di negeri masing-masing. Kerjasama serta komitmen daripada semua pihak yang terlibat, pengurusan dan pengurangan risiko bencana akan dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan negara.