PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir kilat landa pusat beli-belah mulai surut

KUALA LUMPUR: Seramai 603 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah di Selangor, sehingga jam 8 pagi tadi. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan jumlah itu membabitkan 162 keluarga.

"Daerah yang paling terjejas adalah Sepang dengan 477 mangsa banjir daripada 133 keluarga.

"Seramai 231 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, manakala 108 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.

"Selain itu, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir juga dibuka sebagai PPS yang menempatkan 89 mangsa dan 49 lagi mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang," katanya.

Beliau berkata, dua PPS dibuka di daerah Hulu Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih yang menempatkan 96 mangsa banjir daripada 23 keluarga.

"Seramai 87 mangsa ditempatkan di SK Bangi, manakala sembilan mangsa dipindahkan ke SK Semenyih.

"Di daerah Hulu Selangor pula, satu PPS dibuka iaitu di Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yan Bharu yang menempatkan 15 mangsa membabitkan tiga keluarga," katanya.

Katanya, di daerah Petaling juga satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Camelia MBSJ, Putra Height membabitkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

"Satu lagi PPS dibuka di daerah Gombak di Dewan Seroja Kampung Bendahara membabitkan lima mangsa daripada tiga keluarga," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan di PERAK, seramai 219 mangsa banjir daripada 63 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa kekal 53 orang daripada 17 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 12 daripada tiga keluarga masih di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.02 meter manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dan Sungai Slim di Slim River pada paras berjaga-jaga, masing-masing dengan 13.29 meter dan 25 meter.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi, cuaca diramal baik pagi ini, namun hujan dan ribut dijangka berlaku di kebanyakan daerah di Perak pada petang dan malam ini. -BERITA HARIAN

Banjir: Selangor buka dua lagi PPS, Perak kekal empat

KUALA LUMPUR: Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor menjadikan keseluruhan tujuh setakat pagi ini, bagi menempatkan mangsa banjir di Sepang, Hulu Langat dan Subang Jaya. Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 579 orang melibatkan 157 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS berkenaan.
Tujuh PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih di Hulu Langat membabitkan 96 mangsa, manakala 10 individu ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Camelia Seksyen 10, Putra Heights. 
Empat lagi PPS dibuka di Sepang menempatkan 473 mangsa iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil. Sementara di PERAK, seramai 219 mangsa banjir daripada 63 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian. 
 
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa kekal 53 orang daripada 17 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 12 daripada tiga keluarga masih di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan. "Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.
 
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.02 meter manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang dan Sungai Slim di Slim River pada paras berjaga-jaga, masing-masing dengan 13.29 meter dan 25 meter.
Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi, cuaca diramal baik pagi ini, namun hujan dan ribut dijangka berlaku di kebanyakan daerah di Perak pada petang dan malam ini. -ASTRO AWANI

PDRM siap siaga aset hadapi MTL

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan aset ke semua kawasan yang terjejas banjir dan kawasan yang berisiko tinggi berlakunya banjir.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, Ketua Polis Daerah (KPD) di setiap kawasan sudah menggerakkan aset ke lokasi banjir.

"Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula akan digerakkan bagi membantu pasca banjir di kawasan terjejas.

"Kita sentiasa bersiap siaga untuk menggerakkan kekuatan operasi bagi menghadapi bencana banjir, terutamanya ketika Monsun Timut Laut (MTL)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menggerakkan aset-aset terdiri 503 bot banjir, treler bot (206) ; lori (497) ; kereta pacuan empat roda (802) dan van/ambulans (17) bagi menghadapi MTL.

Katanya, sebanyak 6,028 jaket keselamatan dan lapan pesawat udara turut akan digerakkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.

"Secara keseluruhan, terdapat lima agensi kerajaan termasuk PDRM yang akan ditugaskan untuk menghadapi MTL dengan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 61,839 orang.

"PDRM juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan lain untuk memastikan setiap misi bantuan dan menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas," katanya.

Setakat hari ini, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor dan Perak masing-masing di daerah Petaling Jaya, Gombak, Hulu Selangor, Sepang, Hulu Langat, Hilir Perak dan Kerian.

Seramai 822 mangsa banjir kini dipindahkan di PPS yang disediakan susulan kawasan kediaman mereka mula dinaiki air sejak semalam. - HARIAN METRO

IPU Sri Aman kembali tidak sihat

KUCHING: Kualiti udara di Sri Aman berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 108 bermula jam 10 malam tadi.

 

Bacaan IPU di stesen itu terus meningkat setiap jam sehingga mencecah 126 setakat jam 6 pagi.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 12 lagi stesen di Sarawak berada pada tahap hijau iaitu bacaan IPU sederhana.

Stesen IPD Serian (MCAQM) mencatat bacaan tertinggi iaitu 96 diikuti Samarahan (84), Kuching (83), Sarikei, Kapit dan Bintulu (77), Mukah (75), Sibu (74), Limbang (70), Samalaju (68), Miri (66) dan ILP Miri (64). -Berita Harian

Amaran hujan berterusan peringkat waspada mulai esok hingga lusa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada di tiga negeri mulai esok hingga lusa (5 Oktober).

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, tiga negeri yang dijangka mengalami hujan berterusan itu ialah Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan Meteorologi di aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638. - BERITA HARIAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search