KUALA LUMPUR - Kerja-kerja pembersihan sisa pascabanjir di enam negeri telah mencapai keseluruhan 98.17 peratus siap di bawah fasa pertama dan 100 peratus untuk fasa kedua melibatkan hanya dua negeri (Negeri Sembilan dan Melaka) setakat semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 438 tan sisa banjir telah dibersihkan pada kedua-dua fasa pembersihan dengan menggunakan 112 jentera dan 354 pekerja.
"Fasa pertama kerja pembersihan pascabanjir di Johor telah mencapai 90 peratus dengan kawasan tumpuan pembersihan di daerah Segamat dan Muar, manakala di Pahang, kerja pembersihan kekal pada 99 peratus kerana berdasarkan rondaan hari ini masih terdapat sisa baharu dikeluarkan dari kawasan perumahan.
Sementara itu, menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), terdapat pertambahan empat kejadian tanah runtuh telah direkodkan iaitu masing-masing dua di Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang monsun timur laut (MTL) 2021/2022 adalah sebanyak 280.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 61.7 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) terkesan dalam gelombang pertama dan 52.3 peratus terkesan dalam gelombang kedua, telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) membabitkan peruntukan sebanyak RM64,833,000.
- Bernama
KUALA LUMPUR - Enam negeri iaitu Perak, Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan selesai 100 peratus pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir, setakat pagi Jumaat.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan memaklumkan, negeri-negeri lain termasuk Pahang dan Selangor untuk tempoh sama, masing-masing mencatatkan peratusan agihan BWI sebanyak 96.4 dan 97 peratus daripada jumlah KIR yang terkesan.
Sehingga 12 tengah hari Jumaat, dua negeri dilaporkan masih terjejas dengan bencana banjir melibatkan tiga daerah di Johor dan satu daerah di Sarawak.
Menurut agensi itu, seramai 339 mangsa daripada 91 KIR direkodkan masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).
- Bernama
KUALA LUMPUR: Hampir 100 peratus ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir gelombang pertama menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi kejadian banjir membabitkan gelombang kedua pula, bayaran BWI telah diagihkan kepada 1,120 (19.3 peratus) KIR yang berpindah ke PPS.
"Sejumlah 96.9 peratus KIR yang berpindah ke PPS bagi banjir gelombang pertama menerima bayaran BWI manakala bagi KIR yang tidak berpindah ke PPS, 34,227 (45.9 peratus) telah menerima agihan BWI.
"Selain itu, bagi KIR yang tidak berpindah ke PPS membabitkan banjir gelombang kedua pula seramai 1,063 (23.7 peratus) telah menerima bayaran BWI," menurut kenyataan itu.
Menurut NADMA, berhubung kerja-kerja pembersihan sisa banjir, 96.18 peratus kerja pembersihan selesai bagi fasa satu membabitkan enam negeri dan 99 peratus bagi fasa dua membabitkan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka.
Selain itu, kenyataan itu memberitahu Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia memaklumkan tiada pertambahan kejadian tanah runtuh direkodkan di Negeri Sembilan dan Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang monsun timur laut (MTL) 2021/2022 di seluruh negara kekal 271.
– BERNAMA
RANTAU PANJANG: Baru sahaja menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000, mangsa banjir di Kampung Bendang Perol, di sini, tidak menyangka mendapat pula bantuan baik pulih rumah mereka yang rosak dalam bencana berkenaan.
Mereka meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang tampil membantu pada saat rakyat berdepan kesulitan akibat banjir. Penerima bantuan adalah penduduk yang kediaman mereka mengalami kerosakan teruk disebabkan musibah berkenaan.
"Memang saya buntu memikirkan bagaimana nak cari wang untuk baiki dinding rumah dan dapur yang hampir runtuh selepas ditenggelami banjir bermula 17 Disember lalu. Dengan adanya bantuan sebegini, ia bagaikan memberi sinar baharu buat saya dan keluarga.
"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana peka akan nasib rakyat, terutama mangsa banjir yang sememangnya menerima kesan agak teruk akibat bah baru-baru ini. Saya tidak sangka kerajaan ambil langkah segera membantu penduduk yang terjejas," katanya.
"Sejujurnya, saya suka cara kepemimpinan kerajaan hari ini yang membantu tanpa mengira birokrasi, malah disampaikan terus kepada rakyat.
"Tidak sangka baru saja saya terima BWI sebanyak RM1,000 sebelum ini, ada lagi rezeki lain yang datang khusus untuk membaiki rumah yang rosak akibat banjir," kata ibu kepada lapan cahaya mata ini.
Kerajaan juga membantu membaik pulih kediaman keluarga daif di Kampung Kuin Merah, Bukit Tandak, di sini yang dimaklumkan mengalami kerosakan teruk selain bumbung bocor.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2022 baru-baru ini, Perdana Menteri antara lain mengumumkan kerajaan akan menguruskan baik pulih rumah yang rosak teruk akibat banjir dengan kos sehingga RM15,000, manakala bagi kediaman yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu pembinaan rumah baharu dengan kos sehingga RM56,000 setiap unit.
Di samping itu, kerajaan turut menyediakan bantuan tunai hingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak teruk.
SHAH ALAM: Sebanyak 1,359 ketua isi rumah mangsa banjir Taman Sri Muda menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan semalam.
Dewan Azalea yang terletak Seksyen 25, di sini dikerumuni ratusan mangsa banjir sejak pukul 8.30 pagi biarpun kaunter pemberian bantuan dibuka pada pukul 9.30 pagi.
Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, seramai 1,359 mangsa banjir yang hadir menerima bantuan daripada 1,500 mangsa yang dipanggil pihaknya.
“Alhamdulillah, program berjalan lancar dengan kami membuka 10 kaunter pemberian untuk memastikan mereka tidak perlu menunggu lama bagi menerima bantuan.
“Kita akan buat program sama di beberapa lokasi di Klang sehingga semua pemohon dapat bantuan ini,” katanya dalam program pemberian BWI peringkat negeri Selangor, di sini, semalam.
Beliau menambah, dianggarkan seramai 3,507 ketua isi rumah menerima bantuan meliputi penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 28 dan Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat.
Sementara itu, seorang suri rumah, R. Vivitha, 34, dia akan menggunakan duit tersebut untuk membeli kelengkapan rumahnya yang rosak.
“Duit RM1,000 ini dapat menampung sedikit perbelanjaan untuk membeli perabot baharu dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas pemberian bantuan ini,” katanya.
Seorang lagi penerima, Ar-Samer Abd. Sabur, 25, berkata, bencana berkenaan menyebabkan dia kerugian RM50,000, yang merangkumi kerosakan sistem pendawaian rumahnya serta dua kenderaan.
“Saya boleh panggil juruteknik elektrik segera untuk buat pemeriksaan sistem pendawaian. Banyak suis elektrik yang dipasang di rumah tidak boleh digunakan,” katanya yang sudah 12 tahun menetap di Taman Sri Muda.
– UTUSAN