PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bomba kenal pasti hampir 5,000 lokasi berisiko banjir seluruh negara

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 4,795 lokasi berisiko banjir di seluruh negara, kata Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Izram Osman,
Beliau berkata ketika ini negara mengalami musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dengan hujan lebat dan banjir mula melanda beberapa negeri termasuk di kawasan Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
 
Katanya sehubungan itu JBPM telah membuat persiapan rapi dari segi penyediaan anggota, aset dan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi segala kemungkinan bencana yang bakal tiba mengiringi musim peralihan monsun itu.
 
"Kita buat pemantauan dan tinjauan (cuaca) setiap tiga jam dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Dari segi ramalan, keadaan hujan dan angin, data-data akan dicerap oleh pusat pengurusan operasi di ibu pejabat dan juga setiap negeri untuk diambil tindakan atau langkah berjaga-jaga," katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2023 Peringkat Zon Timur di sini, hari ini beliau berkata, selain khidmat 14,000 pegawai dan anggota tetap JBPM, kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa banjir juga akan disokong oleh 7,920 anggota bomba sukarela di seluruh negara.
 
Merujuk kepada program BiGIAR, beliau berkata 500 peserta termasuk kakitangan JBPM, agensi kerajaan dan pekerja sektor korporat dari Pahang, Kelantan serta Terengganu menyertai BiGIAR yang dianjurkan bagi tujuan meningkatkan tahap integriti warga kerja.
 
Sementara itu Ahmad Izram berkata 41 pegawai JBPM telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan tatatertib dalam tempoh antara Januari dan semalam.
Menurutnya antara kesalahan itu termasuk penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, mengadakan hubungan sulit, khalwat, jenayah seksual, rasuah dan salah guna kuasa.
"Tindakan yang dikenakan pula melibatkan hukuman buang kerja, denda, penangguhan pergerakan gaji, turun gaji dan lucut hak emolumen," katanya.
Selain itu katanya JBPM turut menerima 50 aduan bagi tempoh Januari hingga semalam melibatkan kakitangannya dan sebahagian besar membabitkan kesalahan salah guna kuasa.-ASTRO AWANI
 

Satu PPS dibuka di Changlun akibat banjir kilat

Alor Setar: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di daerah Kubang Pasu berikutan banjir kilat yang melanda hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS itu menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Nangmah dan Kampung Paya Nongmi di Changlun.

Beliau berkata, PPS itu dibuka jam 6 petang susulan hujan lebat menyebabkan kawasan terbabit terjejas banjir kilat.

"Mangsa banjir membabitkan empat lelaki dewasa, lima wanita dewasa, kanak-kanak (10), warga emas (dua).

 

"Hujan renyai melebihi lapan jam di daerah Kubang Pasu menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air.

"Trend air sungai kini semakin menaik," katanya. - HARIAN METRO

Hujan lebat dijangka berterusan hingga esok di utara

Changlun: Perubahan cuaca yang mengakibatkan hujan lebat disebabkan bermulanya tempoh peralihan Monsun yang dijangka berterusan dari pertengahan September hingga November ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, keadaan ribut berterusan di negeri-negeri utara dijangka berterusan sehingga esok.

Beliau berkata, keadaan ini berpotensi menjana ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang untuk tempoh berpanjangan di negeri-negeri utara termasuk kawasan pantai.

"Selepas esok, kita menjangkakan keadaan cuaca bertambah baik.

"Bagaimanapun, penting untuk mengambil perhatian bahawa pada musim peralihan ini, cuaca di negeri utara akan kekal lembap," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa merujuk kepada laporan cuaca yang sahih daripada jabatan itu.

"Banjir kilat, lonjakan air, pokok tumbang, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur boleh berlaku pada masa ini.

"Orang ramai perlu kekal di dalam rumah, dan meletak kenderaan masing-masing di tempat yang lebih tinggi, selain menjauhi talian elektrik, dan elakkan daripada memasuki air banjir," katanya. -HARIAN METRO

 

Semua balai bomba di N. Sembilan pantau situasi banjir

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan telah mengarahkan semua balai bomba di negeri ini untuk melakukan pemantauan 24 jam situasi banjir di negeri ini yang juga sebagai langkah menghadapi fasa peralihan monsun yang telah bermula.

Pengarahnya, Abdul Khair Osman berkata, selain itu, seramai 1,221 orang anggota bomba di negeri ini juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran hujan lebat yang sering melanda ketika ini.

“Kesemua 20 buah balai bomba di seluruh negeri ini akan melaksanakan pemantauan banjir 24 jam susulan hujan lebat yang sering berlaku ketika ini.

“Seramai 1,221  orang anggota bomba termasuk 350 bomba sukarela juga akan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khair turut menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dengan maklumat terkini dari Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Penduduk perlu berpindah segera sekiranya air sungai mula melimpah terutamanya kediaman yang terletak berhampiran sungai.

“Mereka juga tidak digalakkan bermandi-manda di kawasan air terjun terutamanya semasa dan selepas hujan serta mengehadkan aktiviti menjaring ikan di kawasan berisiko,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu memberitahu, terdapat sebanyak 17 lokasi berisiko insiden kepala air yang dikenal pasti di negeri ini. -UTUSAN

KPM siap siaga hadapi bencana banjir

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang mula melanda ketika ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjadi tanggungjawab rutin kementerian itu bagi mendepani sebarang kemungkinan.

“Kerjasama dengan Nadma antara persediaan terbesar yang biasa kita buat, maknanya menuju ke musim tengkujuh dan persiapan-persiapan lain berkaitan dengan bencana banjir khususnya.

“Sekiranya ada apa-apa isu, kita telah menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah sentiasa bersedia khususnya sekolah-sekolah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan KPM susulan musim hujan yang melanda beberapa negeri.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal di sini hari ini.

Sekolah terbabit turut menerima sumbangan RM100,000 daripada KPM bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih.

Pusat Multidimensi adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua yang dilaksanakan pengeluar produk tenusu terkemuka selepas projek rintis dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Jun lalu.Murid yang terpilih berpeluang mengikuti pelbagai program antaranya kelas tuisyen percuma termasuk kelas mengaji serta kelas kerohanian atau kaunseling bagi membantu mengawal tekanan hidup dan emosi. - UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search