PORTAL RASMI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA
JABATAN PERDANA MENTERI

Berita

Strok haba pada kucing

CUACA panas ketika ini sememangnya memberi kesan yang buruk kepada kesihatan. Apatah lagi jika banyak berada di luar rumah. Lebih membimbangkan keadaan itu boleh menyebabkan strok haba.

Sebenarnya strok haba bukan sekadar berlaku kepada manusia. Malah, haiwan kesayangan seperti kucing juga boleh mendapat serangan strok haba jika si pemilik tidak mengesannya lebih awal.

Doktor Veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, kucing sememangnya boleh terdedah dengan serangan strok haba. Apatah lagi, jika haiwan kesayangan itu sentiasa berada di tempat yang panas seperti di luar rumah.

"Kucing atau semua haiwan boleh mendapat strok haba jika ia berada di kawasan yang terlalu panas. Dari segi suhu pula, ia bergantung kepada sejauh mana badan haiwan itu sama ada mampu menyesuaikan diri dengan suhu di sekelilingnya atau sebaliknya," katanya.

Jelasnya lagi, haiwan mamalia seperti kucing tidak mampu berpeluh seperti manusia untuk mengeluarkan haba di dalam badannya. 

Jika manusia berpeluh, ia akan menjadikan badan lebih sejuk. Berbanding kucing, haiwan ini tidak berpeluh seperti manusia kerana kelenjar peluhnya yang terhad.

Katanya lagi, haiwan seperti kucing mengeluarkan haba dari dalam badan dengan cara menjelirkan lidah dan bernafas sedikit laju atau dikenali sebagai 'panting.'

"Strok haba yang berlaku kepada kucing boleh menyebabkan haiwan itu mengalami dehidrasi. Kemudian, ia akan menyebabkan kerosakan organ-organ penting dan kematian jika tidak mendapat rawatan segera.

"Apabila haiwan ini kekurangan air, situasi itu menyebabkan berlakunya kekacauan fungsi normal bendalir badan dan ia sekali gus mengganggu organ badan haiwan itu untuk berfungsi dengan baik terutama fungsi buah pinggang," katanya.

Antara cara pemilik kucing mengetahui haiwan kesayangan mereka itu mengalami dehidrasi adalah apabila kucing akan tercungap-cungap. Ia adalah tanda paling mudah untuk dilihat.

"Ia kerana seperti disebutkan di awal tadi, cara kucing atau haiwan mamalia untuk mengeluarkan haba di dalam badan dan nafas juga akan lebih laju.

"Selain itu, menerusi kaedah mencubit kulit di belakang tengkuk kucing atau dikenali sebagai 'skin tenting' mudah untuk mengetahui simptom kucing dehadrasi. Apabila kita melakukan skin tenting, jika kulit kucing itu turun lambat lebih daripada dua saat maksudnya berlaku kekurangan air," katanya.

Tambahnya, kucing yang mengalami dehidrasi juga akan mengakibatkan haiwan itu akan rasa lemah dan tidak aktif. Selain itu, boleh berlaku juga hilang selera makan selain gigi dan gusinya kelihatan melekit," katanya.

Doktor Salehatul berkata, untuk mengelakkan berlakunya kucing kurang meminum air, antara yang boleh dilakukan pemilik adalah kerap menyediakan air minuman yang bersih setiap hari untuk si anak bulus itu.

"Kucing ini akan minum air yang bersih dan tidak berbau. Jika air yang disediakan kotor, ia tidak akan minum. Jadi, ia akan menyebabkan berlakunya dehidrasi di dalam badan.

"Selain itu, kita sediakan juga banyak tempat yang mempunyai bekas minuman untuk kucing. Ini bagi memudahkan kucing untuk datang ke tempat minuman yang lebih dekat dengannya," katanya.

Katanya lagi, pemilik juga boleh menyediakan lokasi minuman air yang mempunyai daya tarikan seperti air pancuran kerana haiwan berkenaan lebih tertarik untuk minum di kawasan berkenaan.

"Kita juga boleh sediakan air minuman yang sejuk untuk menarik perhatian kucing minum air yang disediakan. Selain itu jika keadaan terlalu panas, pemilik boleh juga memasang pendingin hawa dengan suhu yang sesuai," katanya. - HARIAN METRO

Hari paling panas dalam 100 tahun

Beijing: Shanghai, pada Isnin, menyaksikan hari paling panas untuk Mei bagi tempoh lebih 100 tahun dengan suhu mencecah 36.1 darjah Celsius, meneruskan trend cuaca luar biasa panas di China sejak Mac lalu.

Beberapa wilayah selatan China dijangka dilanda cuaca panas melampau dalam beberapa hari akan datang, dan pakar cuaca meramalkan satu lagi musim panas dengan suhu harian yang tinggi.

Suhu tertinggi direkodkan oleh Biro Meteorologi Shanghai pada Isnin lalu mengatasi rekod untuk bulan Mei sebelumnya iaitu 35.7 darjah Celsius pada 1876, 1903, 1915 dan 2018, menurut statistik biro.

Suhu di rantau ini biasanya meningkat lebih tinggi pada bulan Jun, Julai dan Ogos.

Terdahulu, banyak kawasan di wilayah Sichuan, yang menempatkan lebih 80 juta orang, mengeluarkan amaran suhu tinggi, dengan beberapa kawasan mencapai suhu maksimum 42 darjah Celsius, lapor media tempatan.

 

Dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang, suhu maksimum di beberapa bandar di Sichuan, yang terletak di barat daya China, akan mencapai 38 darjah Celsius, dan mencecah 42 darjah Celsius di beberapa kawasan, menurut media kerajaan.

Pentadbiran Meteorologi China berkata, kebanyakan kawasan selatan China, termasuk wilayah Guizhou, Yunnan dan Sichuan, akan menyaksikan suhu meningkat melebihi 35 darjah Celsius, dengan beberapa kawasan mencecah 37 hingga 39 darjah Celsius.

China, yang terkenal dengan keadaan cuaca yang melampau, sebelum ini mengalami hujan lebat selama berminggu-minggu di beberapa wilayah.

Ribuan orang dipindahkan di timur laut wilayah Sichuan setakat Isnin, langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat di kawasan itu, kata pihak berkuasa tindak balas kecemasan tempatan.

Sementara itu, di kawasan perbandaran yang berjiran dengan Beijing iaitu Chongqing, pihak berkuasa memberi amaran mengenai risiko banjir pada hari Isnin, menjangkakan paras air di Sungai Jialing, anak Sungai Yangtze, meningkat kira-kira enam meter pada Selasa berikutan hujan lebat.

Rezeki cuaca panas

Kuala Lumpur: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini memberi hasil lumayan buat peniaga air terutama mereka yang berniaga di tepi jalan.

Peniaga, Mohd Fadzil Ismail, 55, mengakui musim panas ini menjadi lubuk rezeki buat mereka, berbanding hari biasa.

"Alhamdulillah, saya bersyukur disebabkan cuaca panas, jualan air saya laris cepat sehingga mencecah dua kali ganda berbanding hari biasa," katanya.

Menurutnya, waktu kemuncak pelanggan akan ke gerainya pada sebelah petang selepas anak-anak pulang ke sekolah.

 

"Jika dahulu, jualan air saya hanya sekadar empat ke lima balang, tetapi bila musim panas tiba, saya boleh menjualnya sehingga mencecah lapan ke sembilan balang sehari," katanya.

Seorang lagi peniaga, Juraimi Ngadul, 60, berkata, anggaran keuntungan kasar yang diperoleh dalam masa sehari lebih tinggi berbanding hari biasa dan musim hujan.

"Selalunya, pelanggan akan membeli satu atau dua cawan sahaja, tetapi sekarang mereka akan membeli empat cawan disebabkan faktor cuaca panas ini.

Sementara itu, Amran Birin, 58, berkata, jualan air kelapa di gerainya mendapat sambutan pelanggan disebabkan mereka mencari air yang boleh menyegarkan badan.

"Selain air kelapa, air cendol juga menjadi pilihan utama pelanggan di gerai saya pada musim panas ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun. -HARIAN METRO

Kemarau: Tambahan RM400,000 untuk bina pam air, telaga tiub

Bachok: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM400,000 untuk membina pam dan telaga tiub bagi mengatasi masalah air ketika musim kemarau.

Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu diambil bagi mengatasi masalah utama kepada pesawah yang kekurangan punca air untuk tanaman mereka.

"Kita sediakan pam-pam air ini terutama pada musim kemarau supaya petani dapat mengusahakan tanaman padi mereka.

"Sekiranya pam-pam ini belum mencukupi, kita akan pertimbang untuk menambah lagi pam seperti ini sebelum ada kaedah pengairan yang lebih sesuai pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas meninjau pam air di Kampung Kubang Telaga di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata cuaca panas dan kemarau menyebabkan kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan masalah bekalan air apabila Rumah Pam Kemubu tidak dapat mengairi beberapa kawasan tanaman padi di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.

 

"Keadaan cuaca panas menyebabkan air Sungai Kelantan menyusut sekali gus Pam Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan 16,113 hektar tanaman padi di kawasan terlibat sejak hampir sebulan lalu.

"Sehingga kini, KADA menyediakan tiga pam khas iaitu di kawasan bendang Aur Duri (Kota Bharu Utara), Kg Keling (Kota Bharu Selatan) dan Sungai Kemasin (Bachok) bagi membantu mengairi sawah petani," katanya.

Mohamad berkata KADA juga telah mengagihkan hampir 500 pam mudah alih kepada petani di kawasan KADA.

"Dalam keadaan cuaca panas yang berpanjangan ini, KADA dan petani akan bekerjasama memastikan padi yang mula ditanam pada awal Januari dapat dikutip hasilnya menjelang Mei atau Jun ini.

"Saya ingin ucapkan terima kasih atas kesanggupan petani membina sistem paip sendiri bagi mengelakkan lebih banyak kerugian," katanya. -HARIAN METRO

 

Kerap minum air, had aktiviti luar elak strok haba

KUALA KRAI: Fenomena cuaca panas melampau menyebabkan penduduk di jajahan ini mengambil langkah waspada dengan kerap minum air dan mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan terkena serangan strok haba.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk mengakui situasi itu memaksa mereka untuk mengelakkan diri daripada berada di kawasan terbuka selain perlu lebih kerap minum air dalam kuantiti yang banyak. 

Katanya, sejak awal Ramadan lepas, suhu panas terik dan bahang matahari sangat dirasakan sehingga membataskan kerja serta aktiviti harian.

“Cuaca panas ini sudah menjadi kebiasaan bagi saya yang bekerja sebagai buruh binaan, namun, cuaca kali ini agak luar biasa dan terlampu panas.

“Bahang panas ketika ini memeritkan sehingga saya perlu kerap berteduh bagi menghilangkan rasa panas dan keletihan selain minum air sekerap yang mungkin,”katanya ketika ditemui di Kampung Gatal, di sini, semalam.

Sementara itu, seorang peniaga, Ismail Mohamad, 48, berkata, keadaan cuaca panas dilihat berisiko bagi golongan warga emas dan kanak-kanak.

Katanya, memandangkan cuaca panas ketika ini, dia sangat menitikberatkan kesihatan anak-anak dengan membekalkan air masak kepada anak-anak untuk dibawa ke sekolah.

“Jika sebelum ini mereka ke sekolah dengan menaiki basikal, namun sejak cuaca panas ini, saya mengambil keputusan menghantar mereka ke sekolah. 

“Selain itu, saya mengehadkan aktiviti luar dan hanya benarkan mereka bermain-main di luar rumah selepas pukul 6 petang,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) atau tahap kuning bagi empat kawasan di Semenanjung.

Menurut data jabatan itu, empat kawasan berkenaan melibatkan Kuala Krai dan Pasir Mas di Kelantan; Rompin di Pahang dan Muar di Johor.

Tahap berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. - UTUSAN

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 6 & 7, Blok D5, Kompleks D,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Wilayah Persekutuan
Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search