PORTAL RASMI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA
JABATAN PERDANA MENTERI

Berita

Operasi pembenihan awan jadi pelan mitigasi sektor pertanian

SUBANG – Operasi pembenihan awan (OPA) kini disasarkan menjadi serampang dua mata apabila turut menjadi pelan mitigasi kepada sektor pertanian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali, berkata, ia secara tidak langsung dapat menangani impak regim cuaca semasa kepada sektor itu.

“Kali ni diputuskan juga bahawa OPA ini dilakukan secara serampang dua mata ekoran monsun barat daya yang dijangka berlarutan sehingga September ini.

“Selain memastikan empangan-empangan air kita mempunyai kapasiti yang kondusif, dalam masa sama bertindak sebagai pelan mitigasi dalam menangani impak kepada sektor pertanian itu.

Namun katanya, kajian teknikal akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan sehingga kini, beberapa sungai disasarkan bagi tujuan tersebut.

“Dalam mesyuarat pengurusan bencana lepas, beberapa sungai disasarkan untuk kita lakukan OPA antaranya kawasan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau di Sarawak.

“Setakat ni belum ada keperluan tetapi sebagai pelan mitigasi untuk bantu sektor pertanian yang terkesan dengan fenomena cuaca yang membawa cuaca panas dan kering,” katanya ketika sidang akhbar OPA kali kedua di Pulau Pinang, di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, di sini.

Hari ini OPA kali kedua akan dilaksanakan melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan TUDM di Pulau Pinang.

Armizan berkata, operasi itu diteruskan sehingga 13 Jun (esok), menyasarkan kawasan sama iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam bagi mengatasi penyusutan air di kedua-dua empangan tersebut.  – KOSMO

Jun hingga Disember tiada suhu ekstrem melebihi 38 darjah Celsius

Kuala Lumpur: Malaysia diramal tidak akan menghadapi suhu ekstrem melebihi 38 darjah celcius dari Jun hingga Disember ini.

Namun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata masih terdapat kemungkinan negara akan mengalami suhu sedikit lebih tinggi daripada biasa dengan peningkatan antara 0.5 darjah celcius sehingga 1 darjah celcius.

"Negara dijangka akan mengalami fenomena El-Nino lemah bermula bulan ini dan meningkat ke tahap sederhana pada November 2023 dan dijangka akan mengakibatkan jumlah hujan 20 peratus hingga 40 peratus pada Jun hingga Oktober ini terutamanya di selatan Semenanjung, barat Sarawak serta timur Sabah.

"Kelaziman monsun Barat Daya adalah tiupan angin secara konsisten dari arah Barat Daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.

 

"Keadaan itu akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini dan mengakibatkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan melalui taburan hujan yang lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan berhubung fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, cuaca ekstrem memberi risiko kemarau, jerebu dan memberi kesan kepada tahap kesihatan terutamanya risiko strok haba yang turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

"Sejak Januari hingga Mei 2023, bacaan suhu harian maksimum tertinggi yang direkodkan adalah 38.6 darjah celcius di Raub, Pahang.

"Sepanjang tempoh itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan pemakluman secara harian bagi memaklumkan kepada rakyat tentang keadaan semasa terutamanya kawasan yang berada dalam tahap berjaga-jaga," katanya.

Nik Nazmi, berkata sehingga Isnin lalu, data terkini menunjukkan hanya Bentong, Pahang berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum 35 sehingga 37 darjah celcius selama tiga hari berturut-turut.

Katanya, selain tahap normal dan berjaga-jaga, kriteria cuaca panas turut terbahagi kepada tahap dua, iaitu berstatus gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah celcius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dan tahap tiga (gelombang haba ekstrem) yang mana suhu harian melebihi 40 darjah celcius.

Selain itu juga, katanya, masih terdapat kemungkinan hujan lebat berserta ribut petir berikutan fenomena garis badai yang masih boleh berlaku di pantai Barat Semenanjung dan Barat Sabah terutama pada awal pagi.

"Bagi bulan Jun kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka akan menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 50 milimeter (mm) sehingga 150 mm kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Utara Perak, Kelantan dan Terengganu yang dijangka menerima hujan pada paras purata 50 hingga 300 mm," katanya.

Nik Nazmi berkata, negara dijangka berada dalam fasa akhir monsun Barat Daya pada September 2023 dengan jangkaan peningkatan hujan dikebanyakkan negeri di Semenanjung dengan taburan purata hujan pada paras 100 hingga 400 mm.

Katanya, situasi pembakaran terbuka di seluruh negara adalah dalam keadaan terkawal dengan 1,800 aduan dengan 80 peratus membabitkan pembakaran sampah sarap.

"Terdapat lima kes pembakaran terbuka besar di Semenanjung yang menyebabkan jerebu setempat membabitkan tiga kes pembakaran tanah gambut dan dua di tapak pelupusan sampah," katanya.

Katanya, secara keseluruhan terdapat 352 loji rawatan air yang sedang beroperasi pada tahap normal bergantung. kepada ketersediaan sumber air mentah.

"Sehingga hujung tahun 2022, Pulau Pinang dan Terengganu merekodkan tahap rizab margin air pada kadar selesa melebihi 20 peratus manakala Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Labuan berada pada kadar rizab margin sederhana iaitu 10 hingga 20 peratus. - METRO

Bentong masih catat suhu panas tahap satu

PETALING JAYA: Daerah Bentong di Pahang masih catat satu-satunya kawasan  yang berada pada suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah selsius tahap satu (berjaga-jaga).

Status cuaca panas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pukul 4.30 petang semalam merekodkan kawasan lain di negara ini masih berada pada suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah selsius. 

Jabatan itu merekodkan tiada kawasan berada pada tahap dua (gelombang haba) dan tahap tiga (gelombang ekstrem haba).

Sementara itu, berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 1 petang hari ini, tiada kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Sebanyak 26 stesen pula mencatatkan bacaan IPU baik manakala 42 kawasan sederhana.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kerajaan belum berhasrat mengisytiharkan darurat susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
 
 Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 1/2023 berkata, jika cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius, kerajaan akan mengaktifkan segera Arahan No 20 MKN. UTUSAN MALAYSIA

Rancangan tebatan banjir di Klang dilaksana segara atasi banjir - Nik Nazmi

KLANG, 6 Jun (Bernama) - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan melaksanakan segera Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai penyelesalan jangka masa panjang bagi masalah banjir di beberapa lokasi sekitar daerah ini.


Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan penelesaian jangka masa pendek pula adalah dengan meningkatkan kekerapan penyelenggaraan sistem saliran kawasan tersebut.


"Penyelesaian jangka panjang adalah dengan pelaksanaan segera RTB Sungai Batu Enam, Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar, katanya ketika membuat lawatan kerja ke kawasan banjir sekitar Bandar Bukit Raja di sini hari ini.

Lawatan tersebut susulan kejadian banjir kilat pada Ahad lepas di beberapa lokasi di daerah ini yang melibatkan kawasan Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja. Beliau berkata kawasan yang terjejas di Pekan Meru antaranya Taman Daya Meru, Taman Daya Maju, Jalan Kasban dan Persiaran Hamzah Alang, manakala kawasan Bukit Raja melibatkan Bandar Baru Bukit Raja dan Mutiara Bukit Raja. "Dilaporkan anggaran 50 hingga 100 rumah terjejas banjir dengan kedalaman 0.1 meter (m) ke 0.5m dan melibatkan perpindahan 20 keluarga," katanya. 

Nik Nazmi berkata kejadian banjir it disebabkan hujan yang sangat lebat dan berlarutan lebih tiga jam serta bertembung dengan air laut pasang.


Selain itu, menurutnya faktor sistem saliran dalaman yang tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak dapat mengalir ke sungai kerana aras air sungai tinggi turut I menyumbang kepada berlakunya banjir.


*Pada hari kejadian Ahad lepas, Steen Telemetri Kampung Perepat, Kapar merekodkan hujan tertinggi hingga 98.5 milimeter(mm) menyebabkan status aras air Sungai Binjai, Pekan Meru meningkat hingga 4.38m melepasi aras bahaya laitu 4.2m pada pukul 12 tengah hari, namun surut sepenuhnya pada 5 petang semalam," katanya. - BERNAMA

Laporan tanah runtuh Batang Kali siap akhir bulan ini

PETALING JAYA – Laporan kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku Disember lalu dijangka diperoleh akhir bulan ini.

Menteri Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laporan itu akan dibentangkan
kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak yang terlibat mengambil tindakan selanjutnya.

“Kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.

“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Alexander, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan itu adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.

“Data daripada ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” tambahnya.

Semalam, kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh itu menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.

Mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan walaupun kejadian sudah enam bulan berlalu.

Terdahulu, pada 16 Disember lalu, seramai 31 mangsa terkorban, manakala 61 terselamat lagi ketika berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali. – KOSMO

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 6 & 7, Blok D5, Kompleks D,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Wilayah Persekutuan
Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search