PORTAL RASMI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA
JABATAN PERDANA MENTERI
Mon - Fri
08:00-17:00
+603-8870 4800
+603 8870 4848

admin@nadma.gov.my

Berita

Kerajaan naikkan kadar Bantuan Wang Ihsan 100 peratus

 

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana lain yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, inisiatif BWI itu dijangka dapat meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah membabitkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

"Mesyuarat JPBP yang dipengerusikan saya pada 13 September lalu, bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh JPBP.

"Keputusan menaikkan kadar bantuan ini, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pemberian bantuan itu bukan satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

Jelasnya, ia antara pendekatan baharu yang diambil kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November ini hingga penghujung Mac tahun depan, membabitkan negeri Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur.

"Peruntukan itu menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan adalah pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

Katanya, bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana pusat, negeri atau daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

"Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana pusat, negeri serta daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menasihatkan supaya semua pihak yang terbabit konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing.

"Semua agensi terbabit juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset yang sedia ada di negeri masing-masing dengan membabitkan badan korporat, NGO serta individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk ke atas jiran serta rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

BERITA HARIAN

 

Penafian

Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.

Kajiselidik

Adakah NADMA memberi maklumat bencana yang anda cari?

Tag Cloud

Your browser doesn't support canvas.

Statistik Pengunjung
Pengunjung
Hakcipta @ 2021 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Search