KOTA BHARU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan membincangkan kemungkinan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu dilakukan penstrukturan semula bagi membolehkan punca kuasa ditambah pada peringkat negeri dan daerah.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan struktur NADMA ketika ini hanya membabitkan peringkat pusat, dan tiada di negeri serta daerah.
"Kita akan membincangkan perkara itu. Mungkin perlu dilakukan penstrukturan semula supaya punca kuasa itu boleh ditambah.
"NADMA sekarang hanya sebagai penyelaras, namun di negeri masing-masing ada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah. NADMA hanya panggil untuk mesyuarat dan mungkin kuasa itu boleh dilihat semula," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan antara lain akan membincangkan penyelesaian banjir untuk jangka panjang.
Beliau berkata, pihaknya akan mengkaji secara menyeluruh soal banjir kerana isu berkenaan sudah sekian lama berlarutan.
"Apa yang kita lakukan sekarang adalah seperti buat ad-hoc sahaja sejak dulu, sedangkan ia membabitkan perbelanjaan besar setiap kali banjir.
"Jika kita tidak mengambil langkah penyelesaian jangka panjang, kerajaan akan mengalami kerugian lebih besar. Tahun ini, Menteri Kewangan mengatakan kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah RM6 bilion, tidak termasuk RM1.5 bilion bantuan terus kepada rakyat serta kerosakan infra.
"Sedangkan banyak perkara boleh dilakukan dengan jumlah berkenaan sebagai langkah pencegahan untuk masa depan. Justeru, kita akan bincang secara menyeluruh dari segi perancangan dan kos yang diperlukan," katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan mungkin akan memfokus di satu atau dua tempat yang berisiko banjir setiap tahun, seperti Kuala Krai dan Rantau Panjang jika di Kelantan.
Beliau berkata, sekiranya ia membabitkan perbelanjaan yang besar, langkah penyelesaian itu mesti mengambil masa hingga 10 tahun.
KUALA LUMPUR: Lebih RM125.5 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang berjumlah RM1,000 kepada setiap penerima sudah disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada negeri yang terjejas banjir bagi tujuan pengagihan kepada ketua keluarga isi rumah yang terbabit bencana itu, hingga semalam.
Beliau berkata, hingga kelmarin, prestasi pengagihan bagi mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah sebanyak 97.3 peratus daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir di lapan negeri yang terjejas.
"Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3 peratus meliputi Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan berhubung Bantuan Bencana Banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
KUALA LUMPUR - Kerja-kerja pembersihan sisa pascabanjir di enam negeri telah mencapai keseluruhan 98.17 peratus siap di bawah fasa pertama dan 100 peratus untuk fasa kedua melibatkan hanya dua negeri (Negeri Sembilan dan Melaka) setakat semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 438 tan sisa banjir telah dibersihkan pada kedua-dua fasa pembersihan dengan menggunakan 112 jentera dan 354 pekerja.
"Fasa pertama kerja pembersihan pascabanjir di Johor telah mencapai 90 peratus dengan kawasan tumpuan pembersihan di daerah Segamat dan Muar, manakala di Pahang, kerja pembersihan kekal pada 99 peratus kerana berdasarkan rondaan hari ini masih terdapat sisa baharu dikeluarkan dari kawasan perumahan.
Sementara itu, menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), terdapat pertambahan empat kejadian tanah runtuh telah direkodkan iaitu masing-masing dua di Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang monsun timur laut (MTL) 2021/2022 adalah sebanyak 280.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 61.7 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) terkesan dalam gelombang pertama dan 52.3 peratus terkesan dalam gelombang kedua, telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) membabitkan peruntukan sebanyak RM64,833,000.
- Bernama
KUALA LUMPUR - Enam negeri iaitu Perak, Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan selesai 100 peratus pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir, setakat pagi Jumaat.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan memaklumkan, negeri-negeri lain termasuk Pahang dan Selangor untuk tempoh sama, masing-masing mencatatkan peratusan agihan BWI sebanyak 96.4 dan 97 peratus daripada jumlah KIR yang terkesan.
Sehingga 12 tengah hari Jumaat, dua negeri dilaporkan masih terjejas dengan bencana banjir melibatkan tiga daerah di Johor dan satu daerah di Sarawak.
Menurut agensi itu, seramai 339 mangsa daripada 91 KIR direkodkan masih berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).
- Bernama
KUALA LUMPUR: Hampir 100 peratus ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir gelombang pertama menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi kejadian banjir membabitkan gelombang kedua pula, bayaran BWI telah diagihkan kepada 1,120 (19.3 peratus) KIR yang berpindah ke PPS.
"Sejumlah 96.9 peratus KIR yang berpindah ke PPS bagi banjir gelombang pertama menerima bayaran BWI manakala bagi KIR yang tidak berpindah ke PPS, 34,227 (45.9 peratus) telah menerima agihan BWI.
"Selain itu, bagi KIR yang tidak berpindah ke PPS membabitkan banjir gelombang kedua pula seramai 1,063 (23.7 peratus) telah menerima bayaran BWI," menurut kenyataan itu.
Menurut NADMA, berhubung kerja-kerja pembersihan sisa banjir, 96.18 peratus kerja pembersihan selesai bagi fasa satu membabitkan enam negeri dan 99 peratus bagi fasa dua membabitkan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka.
Selain itu, kenyataan itu memberitahu Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia memaklumkan tiada pertambahan kejadian tanah runtuh direkodkan di Negeri Sembilan dan Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan kejadian tanah runtuh sepanjang monsun timur laut (MTL) 2021/2022 di seluruh negara kekal 271.
– BERNAMA