OFFICIAL PORTAL
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY
PRIME MINISTER'S OFFICE

News

'Jangan tunggu banjir baru ada arahan' - Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan dan agensi badan penguatkuasa mengambil tindakan termasuk memberi arahan lebih awal bagi tangani banjir.

Perdana Menteri berkata, arahan segera perlu diberikan supaya jentera penguatkuasaan dan penyelamat sentiasa bersiap siaga, sekali gus memudahkan tindakan penyelarasan dalam membantu mangsa bila bencana berlaku.

"Maknanya arahan itu patut datang sekarang, jangan tunggu banjir baru ada arahan, yang saya lihat di Johor, yang istimewanya kerana sebelum banjir jentera sudah siap siaga dan ini yang memudahkan tindakan.

"Saya mahu hal sama berlaku, sebab itu untuk JPM dan badan penguat kuasa lain dan Kementerian Kewangan, saya kata tidak payah tunggu kelulusan belanjawan sepenuhnya, kerana belanjawan sudah diluluskan sebahagiannya pada Disember ini.

Perdana Menteri berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa ada kesedaran di semua peringkat khususnya penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan ikhlas dan pantas.

"Saya semalam ke Johor, perhatikan jentera kita di peringkat Persekutuan dan negeri itu, kepantasan dia bertindak jauh lebih baik. Terima kasih Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turun segera.

"Saya lihat tindakan penjawat awam dan saya jumpa pegawai daerah, menteri besar, ketua polis, saya syukur, tak payah tunggu arahan, dia sudah tahu, kepantasan tentera dalam bina jambatan Bailey, bila saya teks sudah dalam proses menyiapkan, dua hari selepas itu siap.

"Ini maknanya ada kesedaran di semua peringkat khususnya penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan ikhlas dan pantas.

"Kerana orang yang mengalami masalah itu tidak sama seperti kita, dia tidak mampu menunggu berhari-hari, makan minum pun dalam tempoh setengah hari dan selewat-lewatnya sebelum 24 jam sampai makanan melainkan tempat terputus (hubungan) yang mengambil masa satu hari," katanya.

Beliau turut bersyukur dan bangga dengan komitmen ditunjukkan semua penjawat awam termasuk di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan lain-lain negeri.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengambil maklum banjir yang berlaku di Sarawak dan mahu tindakan segera yang sama dilakukan seperti di Johor.

"Banjir katanya melanda ke Sarawak dalam masa singkat kita doa semoga dapat dihindari malapetaka lebih besar, tapi saya mahu tindakan yang sama atau lebih baik seperti masa sudah dilakukan di negeri dan saya saksikan sendiri di Johor.

"Malahan saya pendekkan lawatan ke Johor kerana ada acara, tapi Alhamdulillah, mereka melakukan dengan baik dan bangga dengan usaha mereka keseluruhan pasukan termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Untuk Sarawak ini, Timbalan Perdana Menteri akan selaraskan , kalau apa-apa salah, masalah.. salah dia, tapi saya percaya kita dapat kekalkan prestasi itu," katanya.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan Semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diarahkan supaya diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini.

Beliau berkata, keputusan kerajaan menyegerakan projek RTB segera itu bagi mengelakkan bencana banjir berulang semula sekali gus menjejaskan rakyat.- BERTA HARIAN

'Jangan tunggu banjir baru ada arahan' - Anwar

SEGAMAT: Seorang pelatih guru lelaki Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur, maut terkena renjatan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, mangsa Saiful Asraf Mukhtar, 21, dikatakan berada di luar bilik makmal komputer untuk membantu kerja pembersihan kerusi dan meja akibat banjir.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa datang ke sekolah berkenaan bersama-sama sekumpulan pelatih IPG bagi membantu kerja pembersihan pasca banjir.

“Sebelum kejadian, mangsa sedang menggunakan alat penyembur air atau ‘water jet’ membersihkan kerusi meja pelajar.

“Tiba-tiba berlaku renjatan dan mangsa yang berdiri kemudiannya rebah,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Ahmad Zamry berkata, beberapa rakannya berhampiran sempat memberikan bantuan pernafasan (CPR).

“Saiful Asraf turut mengalami cedera di bahagian kepala. Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya sambil memberitahu kes itu  diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Ini adalah kali kedua pelatih guru berasal dari Sabah itu datang menaiki bas IPG untuk membantu misi pasca banjir di Segamat ketika musim banjir tahun ini. – UTUSAN

Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat bencana di Johor - PM Anwar

SEGAMAT: Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Johor ketika ini meskipun angka mangsa banjir di negeri itu sudah melebihi 40,000 orang. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana kebanyakan kawasan yang terjejas di negeri berkenaan telah surut selain jangkaan hujan juga akan berkurangan. 
 “Keputusan kerajaan tidak umumkan darurat kerana jangkaan hujan sudah mula berkurangan dan beberapa tempat (juga) sudah mulai surut. 
 “Walaupun ada masalah (banjir) termenung di beberapa tempat, (keadaan) itu mengambil masa tetapi tidak perlu (isytihar) darurat kerana banjir sudah mulai surut,” katanya. 
 Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina SJK(C) Kampung Tengah, di sini pagi ini.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan juga sudah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas khususnya di negeri Johor.

“Saya telah hubungi semua GLC penting kerajaan persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk turun menyelesaikan masalah bekalan elektrik di kawasan yang terjejas banjir.

“Yayasan Sime Darby juga akan menyediakan kit kesihatan kepada lebih 1,500 keluarga selain mereka turut membantu mengumpulkan dana RM20 juta tambahan untuk rakyat Johor,” tambahnya.

Selain itu katanya, beliau berpuas hati dengan pengurusan bencana di negeri itu dan turut meminta semua agensi terlibat membantu sehabis baik dalam mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terjejas. - ASTRO AWANI
 
 
 

Ops khas di kawasan kritikal

Johor Bahru: Operasi khas di kawasan kritikal banjir di negeri ini dijalankan bagi membantu mangsa di kawasan terbabit, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau sudah memanggil mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama pegawai-pegawai daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, malam tadi.

"Operasi khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Beliau berkata, memandangkan Johor menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, adalah menjadi tekad kerajaan negeri supaya persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.

"Mohon semua rakyat Johor untuk sama-sama memohon doa supaya Allah SWT mengangkat musibah ini, dan semoga ada sinar di sebalik bencana banjir ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri serta semua agensi terbabit yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Datuk Noh Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) Datuk On Jabbar@Jaafar serta pegawai-pegawai daerah dan wakil agensi-agensi terbabit.

Setakat 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah di negeri ini, dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan 14,030 mangsa. - HARIAN METRO

Bantuan penduduk terjejas banjir disegerakan – Armizan

MUAR – Kerajaan akan menyegerakan pemberian wang ihsan kepada penduduk terjejas banjir di Johor baagi meringankan beban mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu akan akan mengambil masa selewat-lewatnya seminggu.

“Di peringkat Nadma pusat baru-baru ini, kita telah tetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang mana bantuan ini dalam tempoh seminggu paling lewat, peruntukan itu saya beri jaminan sudah disalurkan ke negeri dan daerah terlibat.

“Itu Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sebaik sahaja kita menerima maklumat yang disahkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana dan daerah,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Pagoh, dekat sini, hari ini.

 Tambah beliau, bagi mengagihkan bantuan bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang berskala besar seperti yang berlaku di Johor, ia memerlukan masa untuk semakan status dan data - MALAYSIA GAZETTE
 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 6 & 7, Blok D5, Kompleks D,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Wilayah Persekutuan
Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search