Partnership Training antara Pasukan SMART dengan US Washington Air National Guard
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Partnership Training antara Pasukan SMART dengan US Washington Air National Guard | 21 hingga 30 September 2025 | Washington State
Seramai dua (2) orang pegawai dan lapan (8 ) anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang diketuai oleh DSP Safrizan Suhaini telah selesai melaksanakan latihan bersama Washington Air National Guard. Antara modul latihan USAR yang dijalankan adalah Collapse Structure, Rope Rescue, Operation Communication, Incident Command System (ICS) dan Swiftwater Rescue.
Turut serta sebagai pemerhati ialah Tuan Addyhanis Ahamad, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA dan Supt. Muhammad Rozhan Rosli yang mana turut diadakan perbincangan ringkas bersama Major General Gent Welsh, The Adjutant General, Washington National Guard. Perbincangan menumpukan kepada pengukuhan kerjasama berterusan dalam bidang penyelamatan dan pengurusan bencana serta pengiktirafan terhadap peningkatan keupayaan operasi kedua-dua negara.
Setiap peserta telah diberikan sijil pengiktirafan penyelamat bagi Swiftwater Rescue Level 1 oleh Dive Rescue International dan sijil kehadiran latihan USAR oleh US Washington Air National Guard. Latihan pelbagai yang dilaksanakan kali ini bertujuan memberi pendedahan tentang gerak kerja operasi pasukan luar negara dan perkongsian pengalaman bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan Pasukan SMART bagi mendepani sebarang insiden dan bencana.
Mesyuarat Pembangunan Kerangka Pelan Strategik National Environmental Health Action Plan (NEHAP) Malaysia Tahun 2026-2030
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Mesyuarat Pembangunan Kerangka Pelan Strategik National Environmental Health Action Plan (NEHAP) Malaysia Tahun 2026-2030 | 29 & 30 Septemper 2025 | Genting Highland, Pahang
Sekretariat National Environmental Health Action Plan (NEHAP), Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses membangunkan Pelan Strategik NEHAP Malaysia 2026-2030 yang bertujuan menetapkan hala tuju pelaksanaan program NEHAP di Malaysia.
Pembangunan pelan strategik ini bertujuan untuk mentapkan hala tuju pelaksanaan program NEHAP Malaysia dalam jangka sederhana, mengenal pasti matlamat dan merancang pelan tindakan yang diperlukan dengan lebih kemas dan teratur. Dr Ajantha Segarmurthy, Timbalan Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi telah dijemput bagi menjayakan mesyuarat ini.
Sesi Treasure Hunt NADMA Tahun 2025 | 26 September 2025 | Wetland Upperbisa, Putrajaya
Program ini telah dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan NADMA (KKSN) dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Kecil NADMA bersempena sambutan 10 Tahun Penubuhan NADMA.
Objektif utama penganjuran adalah untuk menyemarakkan semangat setiakawan dan memupuk kerjasama berpasukan dalam kalangan warga NADMA.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah NADMA; YBrs. Encik Ahmad Rajiun Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi serta telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada seluruh warga kerja NADMA dengan penyertaan lapan (8) pasukan daripada empat (4) rumah sukan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan jutaan terima kasih kepada semua peserta atas penyertaan serta semangat kesukanan yang ditunjukkan. Ribuan terima kasih turut dirakamkan atas sokongan urus setia dalam menjayakan program ini.
Majlis Pelancaran Logo Resilient Asia 2025 | 23 September 2025 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai wakil rasmi YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pagi ini telah melancarkan logo rasmi pameran Resilient Asia 2025 Exposition & Forum di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bertemakan “AI For Future-Proofing Disaster Management Towards Stronger Communities”, pameran Resilient Asia 2025 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober ini bakal menghimpunkan pelbagai pemegang taruh daripada agensi kerajaan, sektor swasta, pemain industri, institusi pendidikan tinggi, organisasi tempatan dan antarabangsa, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil sehinggalah komuniti akar umbi.
Selaras dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Resilient Asia 2025 juga bakal menghimpunkan delegasi antarabangsa dari ASEAN, dan negara yang menjalinkan kerjasama strategik dengan Malaysia dalam bidang pengurusan bencana seperti Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jepun, Persekutuan Rusia, Republik Korea, Timor Leste, Türkiye, United Kingdom dan Qatar turut dijemput menyertai pameran ini.
Penyertaan meluas ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana melalui perkongsian pengalaman, inovasi dan amalan terbaik yang diguna pakai dalam mengurus mitigasi dan kesiapsiagaan bencana mengikut disiplin kepakaran masing-masing di peringkat tempatan, serantau dan global.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai forum dan persidangan antarabangsa akan dianjurkan, merangkumi aspek pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas, bantuan kemanusiaan serta pemulihan semula.
1st Southeast Asia Red Cross Red Crescent Humanitarian Forum | 22 September 2025 | Aloft Kuala Lumpur Sentral
Sedang berlangsung 1st Southeast Asia Red Cross Red Crescent Humanitarian Forum dengan penyertaan seramai 200 orang peserta daripada NGO, Palang Merah/Bulan Sabit Merah Asia Tenggara serta rakan kerjasama ASEAN. Forum anjuran IFRC, ICRC dan BSMM ini menjadi wadah penting untuk membincangkan isu kemanusiaan serantau, berkongsi pengalaman operasi bantuan bencana serta memperkukuh solidariti dan jaringan kerjasama serantau.
Dalam sesi perbincangan, panel daripada NADMA ialah Encik Muhammad Azam Zakuan yang menekankan kepentingan kerjasama erat dengan rakan ASEAN serta memperkenalkan fungsi Platform Rakan NADMA yang menghimpunkan NGO, universiti dan badan korporat sebagai tulang belakang kerajaan dalam pengurusan bencana di dalam dan luar negara.
