PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Previous Next

KUNJUNGAN HORMAT PRASARANA MALAYSIA BERHAD KE ATAS KETUA PENGARAH NADMA | 5 JANUARI 2026

 

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tuan Meor Ismail Meor Akim, telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Prasarana Malaysia Berhad yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd. (PRIDE), Tuan Syed Redza Algadrie.

 

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama strategik antara NADMA dan Prasarana dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta tindak balas bencana dalam ekosistem pengangkutan awam negara, khususnya melibatkan penyelarasan operasi kecemasan, sokongan pemindahan penumpang, daya tahan infrastruktur dan komunikasi krisis bersepadu.

 

Kerjasama ini dilihat penting selaras dengan peranan kritikal Prasarana dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan awam semasa situasi bencana dan kecemasan, di samping menyokong kerangka pengurusan bencana nasional yang dipacu oleh NADMA.

 

Turut hadir dari pihak NADMA adalah Pengarah Seksyen Logistik NADMA, Tuan Mohd. Khairi bin Abd. Ghani.

Previous Next

LAWATAN KE LOKASI PEMASANGAN JAMBATAN KELULI BERMODULER (BAILEY BRIDGE) DI TAMBUNAN SABAH | Ahad | 11 Januari 2026

Sungai Melout, Tambunan

 

YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar bin Haji Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengadakan lawatan ke lokasi pemasangan Bailey Bridge di Sungai Melout, Tambunan yang telah siap dipasang pada 27 November 2025.

 

Pemasangan Bailey Bridge ini dilaksanakan susulan kegagalan struktur jambatan sedia ada akibat daripada peningkatan paras air sungai semasa hujan lebat yang berlaku pada 7 September 2025.

 

Bailey Bridge sepanjang 36.58 meter ini memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan mobiliti dan kesejahteraan penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Pialungan, Kampung Tiong, Kampung Widu dan Kampung Tiang khususnya bagi urusan harian, akses kepada perkhidmatan asas dan pergerakan kecemasan.

 

Pemerhatian mendapati struktur jambatan lama yang berada terlalu hampir dengan permukaan air serta tidak dilupuskan berpotensi menyebabkan kerosakan serius kepada struktur Bailey Bridge sekiranya berlaku bencana kepala air pada masa hadapan.

 

Lawatan ini turut disertai oleh pegawai Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) Negeri Sabah serta pegawai NADMA daripada Seksyen Penyelarasan Operasi (SPeO) dan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

 

Sekian makluman

Previous Next

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2026 YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA NADMA | 8 JANUARI 2026
 
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri telah menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Bersama Warga NADMA bertempat di Markas SMART hari ini.
 
YAB TPM telah menggariskan tiga (3) Hala Tuju Strategik bagi tahun 2026 dalam pengurusan bencana negara iaitu:
 
1. Kesiapsiagaan Berasaskan Sains, Data dan Teknologi
  • Perlu memanfaatkan data raya, analitik ramalan serta integrasi maklumat cuaca, geospatial dan risiko sosial;
  • sistem amaran awal pintar perlu diperkukuh; dan
  • ⁠pendekatan anticipatory action mesti dijadikan amalan supaya kita bertindak sebelum bencana berlaku.
 
2. Bertindak Pantas, Terselaras dan Berdisiplin
  • Kecekapan di lapangan bergantung kepada struktur arahan yang jelas, protokol respons kebangsaan yang standard, serta latihan bersepadu dan simulasi krisis yang konsisten.
  • Pasukan SMART sebagai simbol disiplin, ketangkasan dan kesiapsiagaan nasional.
 
3. Kemanusiaan Berteras Nilai dan Empati
  • keselamatan dan maruah mangsa bencana mesti menjadi keutamaan.
  • Pendekatan berpusatkan rakyat perlu menjadi asas, dengan bantuan disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti.
  • Pastikan setiap gerak kerja bantuan dilakukan seperti kita membantu ahli keluarga sendiri, dilakukan dengan ihsan, hormat dan amanah.
  • ⁠Setiap tindakan di lapangan bukan sekadar soal pelaksanaan, tetapi soal hati dan tanggungjawab.
NADMA akan menjadikan ketiga-tiga hala tuju strategik ini sebagai kompas untuk memacu tindakan dan memandu pelaksanaan tindakan NADMA sepanjang tahun ini agar lebih berdaya tahan dan diyakini rakyat dalam menghadapi apa jua situasi bencana.
 
 
Previous Next

KUNJUNGAN HORMAT SETIAUSAHA PERSEKUTUAN SABAH KE ATAS KETUA PENGARAH NADMA | 5 JANUARI 2026
 
Ketua Pengarah NADMA, Tuan Meor Ismail Meor Akim telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara NADMA dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah khususnya dalam aspek pengurusan bencana.
Turut hadir dari pihak NADMA adalah Tuan Ahmad Rajiun Abu Bakar, TKP (Dasar) dan DCP Datuk Mazli Mazlan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi
Previous Next

PERHIMPUANAN BULANAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN JANUARI & AMANAT TAHUN 2026 | 5 JANUARI 2026

 

Isnin, 5 Januari 2026 YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah menyempurnakan Perhimpunan Bulanan YAB Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’ Seri Endon, Putrajaya dan turut dihadiri oleh Barisan Pengurusan Tertinggi NADMA, Wakil Pengarah-Pengarah Seksyen, Pegawai NADMA berserta Anggota SMART.

 

Dalam ucapan YAB Perdana Menteri dapat dirangkumkan beberapa keputusan-keputusan penting antaranya:

 

1. Penjawat awam diseru mengamalkan budaya kecemerlangan dan ketekunan dalam bekerja.

 

2. Inisiatif Perundangan & Reformasi Parlimen di mana beberapa Rang Undang-Undang (RUU) utama bakal dibentangkan pada tahun 2026 antaranya Pemisahan Kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara dan Had Tempoh Jawatan: Jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada maksimum 10 tahun (2 penggal), termasuk had tempoh bagi jawatan KSN.

 

3. Semua urusan jabatan wajib dilakukan secara online kecuali yang terikat dengan undang-undang dan Deraf jawapan surat rasmi disarankan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjimatkan masa.

 

4. Sumbangan Tunai Rahmah (STR): Fasa 1 (sehingga RM500) dikreditkan bermula 20 Januari 2026, Sumbangan Asas Rahmah (SARA): RM100 dikreditkan kepada 22 juta rakyat (18 tahun ke atas) pada 9 Februari 2026 sebagai persiapan Ramadan dan Tahun Baru Cina berserta Bantuan Awal Persekolahan RM150 diteruskan; peruntukan RM200 juta untuk Sekolah Agama Rakyat/Tahfiz, RM80 juta untuk SJKC, dan RM50 juta untuk SJKT. Selain itu, Penambahan RM100 juta dana PTPK untuk pemandu e-hailing/p-hailing.

 

5. Kadar Percukaian & PMKS berkaitan Cukai Perkhidmatan (Sewa) dikurangkan daripada 8% kepada 6% dan Pengecualian PMKS: Ambang pengecualian cukai perkhidmatan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.

 

Sekian, laporan disediakan luntuk pemakluman YBhg. Datuk/ YBrs. Ir/ Dr./ Tuan/ Puan jua.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search