JERANTUT, 5 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang akan memastikan penglibatan sukarelawan di negeri itu akan terus dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sering dilanda musibah saban tahun.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, sehingga kini purata kira-kira 1,000 sukarelawan berdaftar bagi setiap daerah telah direkodkan dan berharap jumlah ini akan dapat terus bertambah bertepatan penganjuran Moh Karnival Makmur Daerah Jerantut kali ini.
“Dari segi kesukarelawanan ini memang semakin meningkat dan saya mengharapkan rakyat Negeri Pahang banyak yang menyertai sukarelawan ini, jadi untuk bulan ini, semalam, hari ini dan esok silalah datang beramai-ramai untuk ke Moh karnival Makmur Jerantut ini untuk kita mendaftar sebagai sukarelawan.
“Dan selain daripada yang ditentukan kita amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk membantu bila sekiranya ada bencana contohnya sekarang ini kita akan menghadapi Monsun Timur Laut dan kebiasaannya di Jerantut ini juga terlibat, ada banjir…jadi saya menyeru kepada semua warga Jerantut khasnya tidak kiralah daripada mana-mana bagi menyertai program kesukaralawanan ini yang kebanyakannya di bawah APM, JKM bagi membantu masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Moh Karnival Makmur Daerah Jerantut yang berlangsung selama tiga hari di Padang Hoki Daerah Jerantut, hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Harris Salleh Hamzah, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, YBrs Encik Mua’zzamir Jili dan Pegawai Daerah Jerantut, YH. Dato’ Sharuddin Jali.
Sementara itu, menurut YB. Tuan Harris Salleh, penganjuran Moh Karnival Makmur yang bertemakan Kesukarelawanan di Daerah Jerantut ini memberi peluang mendekati rakyat dalam menyebarkan pelbagai maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat setempat.
Bertepatan dengan tema kesukarelawanan kali ini, beliau menyifatkan ianya sangat bersesuaian dengan lokasi daerah Jerantut yang sering dilanda bencana atau musibah seperti banjir, tanah runtuh mahu pun kebakaran yang sukar dicapai oleh agensi penyelamat yang memerlukan ramai sukarelawan berpengetahuan terhadap bantuan awal kecemasan.
“Sebab pentingnya ada sukarelawan ini, contohnya kita ada bomba sukarela penting apabila kita tidak dapat capaian ketika berlaku kebakaran di bahagian hulu contohnya, jadi penting sukarelawan ini untuk memberi bantuan awal daripada sukarelawan, kita harap masyarakat Jerantut yang hendak menjadi sukarelawan marilah datang ke sini untuk mendaftar dan mendapatkan apa-apa maklumat berkaitan di sini,” katanya.
Pada Moh Karnival Makmur Daerah Jerantut kali ini melibatkan sebanyak 50 reruai daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan yang turut berkongsi pelbagai informasi kerajaan termasuklah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang disediakan. -PAHANGMEDIA
Sungai Buloh: Peruntukan berjumlah RM481 juta bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Damansara telah diluluskan sebagai usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan Parlimen Sungai Buloh.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan berkata projek berkenaan kini berada di peringkat permulaan, dengan tender sudah ditutup dan surat tawaran telah diberikan kepada pihak kontraktor.
"Walaupun projek belum bermula, aktiviti di Sungai Subang telah dimulakan dengan peruntukan RM16 juta.
"Tidak pernah ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang meluluskan projek sebesar ini untuk Sungai Buloh. Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan bagi Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata selain itu, terdapat satu lagi usaha mengurangkan risiko banjir, iaitu Projek Tebatan Banjir Sungai Buloh bagi Fasa Dua dengan anggaran kos hampir RM780 juta, yang masih di peringkat cadangan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang berusaha mengurangkan risiko banjir di seluruh negara, termasuk di Parlimen Sungai Buloh, melalui pelbagai langkah yang dilaksanakan secara berperingkat.
Mengulas mengenai situasi banjir kilat di beberapa kawasan dalam Parlimen Sungai Buloh, Ramanan berkata situasi terkini adalah dalam keadaan terkawal, selain Pasukan Khidmat Parlimen berkenaan menerusi unit Pasukan Tindakan Pertama (FRT) telah bertindak produktif membantu mangsa terlibat.
"Saya sangat berterima kasih kepada unit FRT kerana mengutamakan bantuan kepada mangsa, khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, dan keluarga dengan anak ramai, walaupun rumah mereka sendiri terkesan akibat banjir," katanya.
Ramanan berkata beliau dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Rusli Jaafar juga akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas hari ini, bagi meringankan beban mereka.
Sebelum ini, beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh dilaporkan mengalami banjir kilat ekoran hujan lebat pada Khamis lepas, antaranya Paya Jaras, Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak.
Mengulas mengenai majlis hari ini, Ramanan berkata Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyediakan peruntukan bantuan pendidikan kepada sekolah dan pelajar di sekitar Paya Jaras bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan sepanjang sesi persekolahan serta semester pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Sebanyak tujuh sekolah menengah kebangsaan (SMK) menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM70,000 manakala lapan sekolah kebangsaan (SK) menerima bantuan sekolah berjumlah RM40,000 selain bantuan persekolahan berjumlah RM50,000 kepada 500 pelajar.
Turut disampaikan ialah bantuan awal pengajian kepada 51 pelajar IPT melalui Program Penyerahan Insentif Pendidikan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
BALING: Lapan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di daerah ini ditutup sepenuhnya jam 5 petang ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab.Aziz, berkata lapan PPSterbabit iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Seri Bayu, Surau Al-Baraqah Kampung Tembak B, Dewan Banggol Derum, Surau Kampung Lahar, Dewan Batu 48 Bongor dan Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Parit Panjang.
Beliau berkata,mangsa dibenarkan pulang apabila air Sungai Ketil semakin surut dan mereka selamat untuk pulang ke rumah masing- masing.
“Mangsa berpindah sejak malam kelmarin selepas penempatan mereka dinaiki air sehingga paras satu meter.
“Bagaimanapun sekiranya hujan lebat dan banjir semula mangsa diarah berpindah segera ke kawasan selamat dan PPS yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata, anggota APM sentiasa memantau sekiranya hujan lebat bagi memastikan kawasan yang sering terjejas banjir dalam keadaan terkawal.
Banjir Bosnia: Tiada rakyat Malaysia terkesan, Wisma Putra terus pantau rapat keadaan semasa
- Admin UKK
- Berita