PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mendapan tanah: Laluan di KM 78 Jalan Gua Musang-Lojing ditutup sepenuhnya

GUA MUSANG: Laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah bermula hari ini sehingga arahan baharu dikeluarkan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, berdasarkan laporan JKR Gua Musang, pihaknya mengesan lubang benam baharu pada lokasi yang sama, namun berjarak lima meter daripada kejadian lubang benam pertama yang berlaku pada 23 November lalu.

“Dalam kejadian lubang benam pertama ia sudah dibaiki namun mereka mengesan terdapat lubang benam baharu sedalam sembilan meter.

“Pada Khamis lalu laluan terbabit ditutup satu lorong untuk semua kenderaan. Hari ini kerosakan semakin membesar dan laluan terpaksa di tutup kepada semua kenderaan.

“Tiada jalan alternatif kepada pengguna. Jadi pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan jalan lain untuk ke Tanah Tinggi Cameron,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, pihak JKR akan cuba membuka laluan lencongan secepat mungkin untuk pengguna jalan terbabit.

Pada 23 November lalu berlaku kejadian lubang benam sedalam enam meter di KM 78 Jalan Gua Musang-Lojing sehingga menyebabkan laluan dari arah Lojing terpaksa ditutup satu lorong.

 

Kerajaan Kelantan dalam proses kumpul maklumat, bantu mangsa banjir

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dalam proses meneliti dan mengumpul maklumat mangsa yang terkesan akibat banjir untuk mengenal pasti bantuan sesuai yang boleh disampaikan kepada mangsa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kemusnahan teruk membabitkan kediaman memerlukan kos yang besar, justeru perlu kerjasama kerajaan Persekutuan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya kini dalam usaha untuk mengatasi masalah segera dan semasa memandangkan musim Monsun Timur Laut (MTL) masih belum berakhir dengan jangkaan gelombang seterusnya dalam masa terdekat.

"Kita harap gelombang yang akan datang tidak seteruk banjirlalu supaya tiada lagi kemusnahan harta benda rakyat, selain bimbang mengenai keselamatan mereka yang terdedah dengan banjir.

"Malah, kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan banjir kali ini selepas melalui pengalaman bah gelombang pertama. Kita harap ia tidak besar kerana jangkaan hujan juga selama tiga hari sahaja.

"Kerajaan negeri sebelum ini sudah memperuntukkan sumbangan khas untuk bantuan banjir dan ia akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat yang menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lembangan sungai utama di 10 jajahan di Kelantan dijangka berlaku banjir bermula Isnin ini hingga 19 Disember.

Kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini membabitkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli, dan Gua Musang.

 

Next monsoon surge from Dec 16 to 20, says MetMalaysia

PETALING JAYA: The next monsoon surge for Malaysia is expected to take place from Monday to Friday (Dec 16 to 20), says the Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia).

In an advisory issued on Thursday (Dec 12), it said this could cause continuous rain on the east coast of the peninsula.

Also expected to see continuous rain during this time are the southern and western parts of Sarawak, and eastern Sabah.

"The public is advised to consistently refer to the website www.met.gov.my, MetMalaysia’s official social media platforms, and download the myCuaca application for the latest and accurate information," the advisory read.

 

As of Friday (Dec 13), the warning for continuous rain at alert level (yellow) is still on for the state of Perlis, and parts of Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik and Baling), Perak (Hulu Perak), and Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh and Kuala Krai).

Also at alert level is Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus and Kuala Terengganu).

433 mangsa banjir masih berlindung di sembilan PPS di 4 negeri

KUALA LUMPUR - Seramai 433 mangsa banjir masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri yang terjejas setakat jam 8 pagi ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa di daerah Kemaman berkurang daripada 91 orang semalam kepada kepada 80 orang pagi ini di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kertih dan Balai Raya Padang Kemunting.

Sementara itu di PERAK, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 220 orang di dua PPS di daerah Perak Tengah dan Manjung.

Kenyataan itu memaklumkan 34 orang berlindung di PPS SK Teluk Kepayang di daerah Perak Tengah manakala 186 orang lagi di SK Beruas di daerah Manjung.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A18 Jalan Bota Kiri-Teluk Sena di daerah Perak Tengah dan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air.

Jumlah mangsa banjir di Segamat, JOHOR pula kekal 85 orang di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.

Pengerusi JPBN, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat serta satu lagi adalah Sungai Paya Dato’, Mersing.

“Daerah Muar, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan mendung, manakala Johor Bahru, Segamat, Kluang dan Tangkak adalah cerah,” katanya dalam satu kenyataan.

Di PAHANG, mangsa banjir pagi ini meningkat kepada 48 orang berbanding 32 orang malam tadi dan mereka ditempatkan di empat PPS.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 47 orang berada di tiga PPS di Bera manakala seorang lagi di satu PPS di Temerloh. - Bernama

 
 

Situasi banjir 4 negeri semakin pulih, sumbangan kepada mangsa dipergiat

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di empat negeri kini semakin pulih apabila mencatatkan penurunan mendadak setakat 8 pagi tadi.

Menurut kemas kini terkini di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 433 mangsa daripada 123 keluarga kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan empat negeri

Perak mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 220 mangsa daripada 68 keluarga dan ditempatkan di dua PPS dalam daerah Manjung dan Perak Tengah.

Sementera di Terengganu mencatatkan 80 mangsa daripada 16 keluarga yang kini berteduh di dua buah PPS di Kemaman.

Di Johor, dua PPS dibuka yang menempatkan 85 mangsa daripada 26 keluarga dalam daerah Segamat. Manakala, Pahang merekodkan 48 mangsa daripada 13 keluarga dan ditempatkan di 4 PPS dalam daerah Bera dan Temerloh.

Sementara itu, sumbangan kepada mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara giat dilakukan.

Semalam, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) menyalurkan sumbangan berjumlah RM442,817 (US$100,000) bagi menyokong usaha bantuan kepada mangsa banjir di Malaysia.

Bantuan itu disalurkan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk menyediakan barangan keperluan dan perkhidmatan penting kepada komuniti yang terjejas.

“Doa kami bersama mereka yang terkesan akibat banjir yang dahsyat di Malaysia. Bersama Kerajaan Malaysia, kami komited untuk membantu komuniti pulih dan membina semula,” menurut Kedutaan AS di Kuala Lumpur menerusi hantaran di Facebook.

USAID turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan melindungi golongan rentan.

Sementara itu, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) turut tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di pantai timur.

Presidennya Datuk Azman Yusoff berkata PKBM yang terdiri daripada kontraktor G1 hingga G7 memberi sumbangan barangan elektrik seperti kipas dan lampu kepada Jabatan Kerja Raya Kelantan yang akan digunakan bagi membaik pulih sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir.

“Diharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak sekolah-sekolah yang menghadapi masalah terutama dari segi lampu dan kipas dapat diselesaikan dapat memberi keselesaan kepada anak-anak kita untuk bersekolah nanti ” katanya dalam satu kenyataan.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search