Terengganu kembali banjir, 24 mangsa berpindah ke PPS
- Admin UKK
- Berita
KUALA TERENGGANU: Terengganu kembali dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.
Banjir gelombang keempat itu bermula hari ini dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Marang.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 24 mangsa daripada tujuh keluarga berada di tiga PPS di daerah berkenaan.
PPS di Dewan Orang Ramai Bukit Parit dibuka jam 9 pagi tadi bagi menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga.
Seramai 6 mangsa daripada dua keluarga pula berteduh di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai yang diaktifkan jam 11 pagi tadi.
PPS di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang dibuka jam 1.50 petang tadi bagi menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga.
Ketika ini, hujan renyai-renyai masih melanda beberapa kawasan di negeri ini dan situasi banjir berlaku disebabkan limpahan air sungai ke kawasan kediaman penduduk.
Sementara itu, dua sungai direkodkan melepasi paras amaran dan lima paras waspada.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 20.26 meter (m) berbanding paras normal 17 m.
Turut melepasi paras amaran ialah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 2.13 m berbanding paras normal 1 m.
Selain itu, lima sungai merekodkan paras waspada ialah dua di Hulu Terengganu serta masing-masing satu di Setiu, Kuala Nerus dan Dungun.
Di Hulu Terengganu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu merekodkan bacaan 19.06 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping pula berada pada paras 18.25 m.
Tiga lagi yang melepasi paras waspada ialah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (10.94 m); sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.5 m) dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (37.46 m).