PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Nepal bakal alir keluar air 4 tasik glasier kawasan gunung ke sungai

Nepal bakal alir keluar air 4 tasik glasier kawasan gunung ke sungai

KATHMANDU: Nepal akan memulakan usaha pada tahun fiskal ini untuk mengalirkan air keluar dari empat tasik glasier yang terletak pada aras tinggi kawasan pergunungan, bagi mengurangkan risiko banjir.

"Matlamat kami ialah mengurangkan risiko air tasik berkenaan melimpah sehingga memecahkan empangan semula jadinya, serta mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir," kata pakar daripada Pusat Penyelidikan Hidrologi dan Sumber Air Nepal yang ditugaskan menyelia projek baharu itu, Subash Tuladhar.

Beliau berkata, saluran akan dibina bagi mengalirkan air tasik terbabit ke sungai berhampiran secara terkawal.

Namun, katanya, pekerja dikhuatiri berdepan risiko kesihatan akibat tempoh kerja yang panjang di kawasan altitud tinggi, selain ancaman banjir secara tiba-tiba.

Tuladhar berkata, Nepal memiliki kemahiran serta pengalaman diperlukan untuk pelaksanaan projek bernilai AS$50 juta itu yang akan dibiayai Dana Iklim Hijau, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan kerajaan.

Menurut pihak berkuasa, kerja-kerja reka bentuk serta kajian terperinci bagi empat tasik di kawasan tengah dan timur Nepal iaitu Thulagi, Lower Barun, Lumding Tsho dan Hongu II, akan bermula pada tahun fiskal yang berakhir pada pertengahan Julai 2027.

Tasik berkenaan yang terletak pada ketinggian antara 4,050 meter (m) hingga 5,483m, disenaraikan sebagai antara yang paling berpotensi mendatangkan bahaya besar di Nepal, menurut laporan UNDP dan Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) pada 2020.

Sementara itu Pengarah Eksekutif pusat penyelidikan berkenaan, Sanjeeb Baral, berkata kerja-kerja mengalirkan keluar air dari tasik itu akan dimulakan selepas kajian terperinci dilakukan, dan boleh mengambil masa hingga enam tahun untuk disiapkan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search