PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

37 hari hilang di Nepal, seorang rakyat Malaysia kembali ke pangkuan keluarga

37 hari hilang di Nepal, seorang rakyat Malaysia kembali ke pangkuan keluarga

SHAH ALAM – Penantian keluarga selama 37 hari berakhir apabila seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan kejadian banjir besar di Nepal disahkan selamat dan sudah kembali ke pangkuan keluarga.

Jurucakap Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (Masfih), Manivannan Rethinam berkata, individu berkenaan telah melaporkan diri kepada Kedutaan Malaysia di Kathmandu, memetik laporan The Star.

“Bagi Masfih dan keluarga lain, penemuan rakyat Malaysia yang selamat selepas 37 hari adalah perkembangan yang amat melegakan dan bermakna.

“Kami bersyukur kerana seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak dapat dikesan sudah kembali kepada keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini pada 26 Ogos lalu, banjir besar melanda kawasan sempadan Nepal-China dan setakat ini mengorbankan lebih 1,400 nyawa, manakala ribuan lagi masih dilaporkan hilang.

Berdasarkan analisis Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), kejadian itu dipercayai berpunca daripada keruntuhan glasier Himalaya yang menghasilkan tenaga bersamaan gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter.

Mengulas lanjut, Manivannan berkata, individu terbabit merupakan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan antara pelancong solo yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Manivannan memaklumkan, beliau juga telah menghubungi waris individu berkenaan bagi mendapatkan pengesahan mengenai kepulangannya dengan selamat.

“Berdasarkan maklumat diterima daripada waris, individu itu berada di Nagthali Viewpoint pada jam 3.26 petang, 25 Ogos, sehari sebelum kejadian banjir besar.

“Dia dipercayai terkandas buat sementara waktu berikutan kemusnahan jalan dan jambatan di kawasan berkenaan selain ketiadaan bekalan elektrik serta air,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan akses internet pada ketika itu juga mengehadkan pergerakan dan komunikasi individu terbabit.

Menurutnya, perkembangan itu bukan sekadar mengurangkan jumlah rakyat Malaysia yang masih hilang daripada 55 kepada 54 orang.

Dalam pada itu, Manivannan berkata, Masfih masih menunggu peluang untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia.

“Kami juga masih menunggu peluang untuk bertemu Perdana Menteri secara bersemuka.

“Permintaan ini bukan sekadar untuk menyuarakan kebimbangan, tetapi bagi mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenai langkah seterusnya untuk waris, perkembangan sepanjang 38 hari lalu serta perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut di peringkat tertinggi kerajaan,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search