PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran di Kalimantan: Malaysia masih tunggu maklum balas Indonesia tawaran bantuan aset

Kebakaran di Kalimantan: Malaysia masih tunggu maklum balas Indonesia tawaran bantuan aset

PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada Indonesia berhubung nota tawaran bantuan aset Malaysia untuk membantu memadam kebakaran di negara itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Indonesia dan pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini.

“Wisma Putra memaklumkan mereka belum lagi menerima maklum balas daripada nota yang sudah dihantar oleh Wisma Putra kepada pihak Indonesia.

“Jadi kita masih mengikut saluran rasmi dan juga perbincangan secara langsung dan terus di antara pimpinan utama,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Katanya, pada mesyuarat sama, Ahmad Zahid turut membangkitkan isu aset Malaysia yang mungkin boleh digunakan bagi membantu memadam kebakaran di wilayah Indonesia ketika pertemuan dengan Prabowo.

Dalam perkembangan berkaitan jerebu, Fahmi berkata, keputusan mengenai penganjuran acara besar hujung minggu ini adalah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, tiga acara besar dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober, iaitu Le Tour de Langkawi, Bahrain F1 Malaysia dan Standard Chartered Marathon.

“Bagi pihak kerajaan yang menguruskan F1, pihak KBS menyatakan akan meneruskan. Belum ada apa-apa makluman sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search