PBT perlu jadi pemacu pembangunan, bukan sekadar pentadbir tempatan
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 16 Julai: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu beralih daripada peranan tradisional sebagai pentadbir kepada institusi pembangunan moden yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh komuniti dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata PBT adalah wajah yang mencerminkan kecekapan pentadbiran Kerajaan Sarawak menerusi penyampaian perkhidmatan harian yang memberi kesan secara langsung kepada masyarakat.
Beliau berkata, dalam era pembangunan baharu, PBT tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah kerja lama, sebaliknya perlu menjadi pemudah cara kepada pembangunan tempatan serta penyelesaian pelbagai isu rakyat.
“**PBT yang kukuh bukan sekadar menjaga kebersihan dan ketenteraman, malah menyokong perniagaan tempatan, memudahkan pelaburan, mengukuhkan komuniti serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk didiami, bekerja dan berkembang maju**,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, ketika merasmikan Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak kini bergerak dalam landskap pembangunan yang jauh berbeza menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selari dengan perubahan ekonomi global yang dipacu teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri berasaskan data, rantaian bekalan baharu serta pembangunan rendah karbon.
Sehubungan itu, katanya, semua peringkat kerajaan termasuk PBT perlu menyokong agenda transformasi digital negeri dengan memperluaskan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan.
“Teknologi seperti Sarawak ID dan S Pay Global menyediakan peluang untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan, memudahkan urusan transaksi serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.
“Data juga mesti menjadi asas kepada setiap keputusan kerana ia membantu PBT memahami risiko banjir, corak trafik, keperluan penyelenggaraan, aduan awam, pertumbuhan perniagaan dan keperluan komuniti,” katanya.
Beliau turut menggariskan lima cabaran utama yang perlu diberi perhatian oleh semua PBT, iaitu kecerdasan buatan dan transformasi digital, perubahan iklim serta pembangunan bandar mampan, daya saing ekonomi, pembandaran dan perubahan demografi, selain usaha mengekalkan kepercayaan rakyat.
Menurutnya, semua cabaran itu perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh organisasi dan mempercepat transformasi PBT menjadi institusi pembangunan moden.
Sementara itu, Dr Sim menyeru semua PBT di Sarawak supaya terus memperkukuh kepercayaan rakyat, berkembang sebagai organisasi pintar dan memainkan peranan lebih besar dalam memacu pembangunan mampan.
“Masa depan Sarawak bukan sahaja bergantung kepada dasar di peringkat negeri, tetapi juga kepada kekuatan institusi di peringkat tempatan. Apabila PBT kukuh, komuniti menjadi lebih kuat, ekonomi berkembang dan Sarawak akan terus maju,” katanya.
Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak 2026 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa transformasi penyampaian perkhidmatan serta membudayakan integriti dalam kalangan warga PBT di seluruh negeri.
Persidangan itu dianjurkan menerusi kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak dengan pengisian berteraskan pengukuhan tadbir urus, transformasi digital dan integriti bagi merealisasikan aspirasi bandar pintar di Sarawak.
