Tingkat pemantauan saintifik antara tiga langkah utama jaga Tasik Bera
- Admin UKK
- Berita
BERA: Tiga langkah utama perlu segera dilaksanakan pihak berwajib demi kelestarian Tasik Bera, Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia yang menjadi khazanah ekologi negara.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan Tasik Bera terus terpulihara daripada ancaman pembangunan dan pencemaran.
Beliau berkata, langkah pertama adalah meningkatkan pemantauan saintifik dengan melibatkan universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Data ekologi dan biodiversiti perlu dikemas kini secara berterusan agar sebarang ancaman dapat dikenal pasti lebih awal.
“Langkah kedua pula adalah melaksanakan Program Komunikasi Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) bermodul untuk komuniti sekitar Tasik Bera. Program ini harus melibatkan NGO bagi memperkukuh kefahaman masyarakat tentang kepentingan tapak Ramsar dan tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Ahmad menekankan perlunya meningkatkan pemantauan komuniti dengan melibatkan penduduk tempatan.
“Kerjasama masyarakat setempat bersama pihak berkuasa akan menjadikan usaha penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya.
Menurutnya, PEM turut mencadangkan bilangan pegawai penguat kuasa ditambah khususnya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi memperkukuh kawalan di kawasan Tasik Bera.
“Ketiga-tiga langkah ini bukan sahaja penting untuk melindungi Tasik Bera daripada ancaman, malah menjadi asas kepada kesinambungan ekosistem yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.
Tasik Bera yang diiktiraf sebagai tapak Ramsar sejak 1994 adalah habitat penting pelbagai spesies flora dan fauna, sekali gus menjadikannya simbol warisan alam semula jadi negara yang wajar dipelihara.
Bermula 1 Februari lalu, setelah kira-kira 10 tahun ditutup kepada orang ramai, Tasik Bera, tasik air tawar semula jadi terbesar negara dibuka semula kepada umum sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026. – UTUSAN
