PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Cuaca panas : Tiga lagi OPA akan dilaksana, kesiapsiagaan dipertingkat

Cuaca panas : Tiga lagi OPA akan dilaksana, kesiapsiagaan dipertingkat

PUTRAJAYA, 9 Jun – Sebanyak tujuh siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) melibatkan 27 penerbangan dilaksanakan di beberapa kawasan seluruh negara sejak Februari lalu bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kering susulan fenomena El Nino.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan tiga lagi siri OPA dijadualkan dalam masa terdekat bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan paras empangan di kawasan terjejas.

Ketua Pengarahnya, Meor Ismail Meor Akim berkata negara kini berdepan peningkatan risiko fenomena El Nino termasuk kebakaran terbuka, kemarau, jerebu serta keadaan cuaca kering yang berpanjangan.

“Walaupun keadaan semasa masih terkawal, kerajaan tidak memandang ringan perkembangan itu dan semua agensi berkaitan telah diminta bersiap siaga serta mengambil langkah pencegahan lebih awal,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Selain OPA, pemantauan terhadap 83 lokasi titik panas yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kebakaran terbuka akan dilaksana Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan turut membuat pemantauan situasi El Nino serta mengeluarkan ramalan jerebu dan maklumat risiko kebakaran hutan dari semasa ke semasa.

“Bagi memastikan bekalan air terus terjamin, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengenal pasti empangan yang memerlukan penyelenggaraan segera.

“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula akan meneliti lebih banyak lokasi sumber air bawah tanah untuk pembinaan telaga tiub,” katanya.

Sementara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) turut memperluas program kesedaran berkaitan kesan cuaca panas dengan tumpuan kepada golongan berisiko serta pelajar sekolah di seluruh negara.

NADMA akan terus memantau perkembangan semasa dan menyelaras tindakan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search