PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

NADMA Perkukuh Kesiapsiagaan Nasional Hadapi El Niño dan Monsun Barat Daya

NADMA Perkukuh Kesiapsiagaan Nasional Hadapi El Niño dan Monsun Barat Daya

PUTRAJAYA, 9 Jun – Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara susulan jangkaan fenomena El Niño yang dijangka berterusan sehingga awal 2027 dan berpotensi menyebabkan cuaca panas serta kering yang lebih mencabar.

Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, hasil Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) 2026 mendapati negara berdepan peningkatan risiko kebakaran terbuka, kemarau, jerebu dan keadaan cuaca kering berpanjangan.

Menurut beliau, walaupun situasi semasa masih terkawal, kerajaan tidak mengambil mudah ancaman tersebut dan telah mengarahkan semua agensi berkaitan meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta melaksanakan langkah mitigasi lebih awal.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan rakyat, kelangsungan bekalan air dan kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Antara tindakan utama yang telah dipersetujui ialah pelaksanaan tujuh siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) melibatkan 27 penerbangan sejak Februari lalu meliputi kawasan utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak. Tiga lagi siri operasi dijadualkan dalam masa terdekat bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan paras empangan di kawasan terjejas.

Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia menggunakan pesawat C-130 Hercules, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia menyelaras aspek teknikal dan saintifik pembenihan awan.

Selain itu, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan El Niño serta mengeluarkan ramalan jerebu dan maklumat risiko kebakaran hutan melalui Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (FDRS) bagi tempoh tujuh hari ke hadapan.

Bagi mengurangkan risiko kebakaran terbuka, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Jabatan Alam Sekitar diarahkan memantau 83 lokasi titik panas berisiko tinggi di seluruh negara sepanjang Monsun Barat Daya.

Dalam aspek bekalan air, Jabatan Pengairan dan Saliran diminta mengenal pasti empangan yang memerlukan penyelenggaraan segera, manakala Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia akan menambah lokasi sumber air bawah tanah bagi pembinaan telaga tiub di kawasan berisiko mengalami kekurangan bekalan air.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia akan memperluaskan kempen kesedaran mengenai kesan cuaca panas terhadap kesihatan, khususnya kepada golongan berisiko tinggi, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia akan melaksanakan program kesedaran cuaca panas di sekolah-sekolah seluruh negara.

NADMA menegaskan pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government approach kekal menjadi tunjang utama dalam memastikan semua agensi berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi risiko bencana berkaitan cuaca panas dan kering.

Agensi itu turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan antara agensi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search