El Nino berlarutan, NADMA tingkatkan siap siaga
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan susulan jangkaan cuaca panas dan kering yang lebih mencabar akibat fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga awal tahun depan.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim, berkata rumusan Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) 2026 mendapati negara kini berdepan peningkatan risiko fenomena El Niño termasuk kebakaran terbuka, kemarau, jerebu serta cuaca kering berpanjangan.
"Walaupun keadaan semasa masih terkawal, kerajaan tidak mengambil mudah dan semua agensi berkaitan diminta mempertingkat kesiapsiagaan.
"Langkah mitigasi lebih awal juga perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan rakyat, kelangsungan bekalan air serta kesejahteraan negara terus terpelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara langkah mitigasi dipersetujui ialah pelaksanaan tujuh siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) membabitkan 27 penerbangan sejak Februari lalu meliputi zon utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.
"Tiga lagi siri operasi dijadual dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan taburan hujan serta paras empangan di kawasan terjejas.
"Operasi dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui penggunaan pesawat C-130 Hercules, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bertanggungjawab menyelaras aspek teknikal dan saintifik pembenihan awan," katanya.
Selain itu, katanya MET Malaysia juga akan terus membuat pemantauan dan mengeluarkan status kemas kini fenomena El Niño sepanjang MBD serta mengeluarkan ramalan jerebu dan maklumat ramalan kebakaran hutan melalui sistem Fire Danger Rating System (FDRS) dengan unjuran tujuh hari ke hadapan.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pula diminta bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau 83 lokasi titik panas berisiko tinggi kebakaran terbuka sepanjang Monsun Barat Daya.
"Kedua-dua agensi itu turut diminta memperbanyak program kesedaran komuniti bersama Rakan NADMA mengenai bahaya pembakaran terbuka di kawasan titik panas," katanya.
Tambah Meor Ismail, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengenal pasti empangan yang memerlukan penyelenggaraan supaya tindakan segera dapat diambil.
"Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pula diminta mengenal pasti lebih banyak lokasi sumber air bawah tanah untuk pembinaan telaga tiub sebagai salah satu kaedah mitigasi di kawasan kekurangan air," katanya.
"Kementerian Kesihatan diminta memperluas hebahan mengenai kesan cuaca panas terutama kepada golongan berisiko tinggi, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan program kesedaran cuaca panas di sekolah seluruh negara," katanya.
Menurut beliau, NADMA akan terus memantau perkembangan situasi semasa serta menyelaras tindakan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
