Kebakaran Kg Bahagia: Kerajaan tidak ‘pukul borong’ ganti dokumen mangsa
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meneliti satu persatu urusan penggantian dokumen mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, Sabah bagi memastikan ia diberikan kepada individu yang layak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak akan mengambil pendekatan ‘pukul borong’ bagi menangani isu pemilikan dokumen dalam kalangan mangsa kebakaran tersebut.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) kepada lebih 9,000 mangsa yang terjejas melibatkan lebih 1,000 rumah atas air.
“Buat masa ini, proses pendaftaran mangsa sedang dilakukan kerajaan negeri bersama agensi negeri dan Persekutuan termasuk mengenal pasti status dokumen setiap individu.
“Dalam proses itu, kalau kita temui individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan tangani perkara itu satu persatu. Soal pemilikan dokumen ini sangat penting. Ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mereka yang tidak layak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan terdapat mangsa yang tidak mempunyai status kewarganegaraan sah dalam kejadian kebakaran tersebut.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan membantu memudahkan urusan penggantian dokumen sekiranya berpunca akibat kebakaran tersebut.
