PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sifar banjir, mencabar tetapi tidak mustahil – Exco

Sifar banjir, mencabar tetapi tidak mustahil – Exco

SHAH ALAM: Sasaran sifar banjir di negeri ini tidak mustahil untuk dicapai namun berdepan cabaran seperti kos pembinaan tebatan atau ban yang tinggi serta cuaca tidak menentu dan ekstrem.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, bagaimanapun keseluruhan tebatan banjir berjumlah RM4 bilion di seluruh negeri sedang dilaksanakan melibatkan jangka panjang, sederhana, pendek dan segera.

“Sasaran sifar banjir boleh diletakkan sebagai hala tuju pengurusan bencana negeri dengan kita melaksanakan kesemua projek-projek tebatan banjir namun ia perlu berterusan kerana akhirnya kita maklum bencana bukan kawalan kita.

“Bagaimanapun, ketika ini kesemua projek tebatan banjir sedang berjalan seperti dirancang. Ia bukan pembinaan yang boleh siap dalam tempoh satu atau enam bulan tetapi memakan masa sehingga tiga tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ahli-ahli politik supaya fokus bekerja menyelesaikan masalah rakyat termasuk meletakkan sasaran sifar banjir dalam menangani bencana tersebut.

Baginda menegaskan, segala tenaga dan fikiran ditumpukan kepada usaha membina pembangunan yang nyata agar rakyat dapat hidup lebih selesa, terpelihara kebajikannya dan dilindungi oleh sistem yang adil dan berkesan.

Sultan Selangor bertitah, masalah seperti banjir sudah berlarutan terlalu lama dan ia perlu ditangani secara tuntas dengan sasaran yang jelas iaitu zero flood.

Izham berkata, ketika ini banyak projek-projek tebatan banjir jangka pendek dan segera memberi kesan meminimumkan risiko banjir seperti di Taman Sri Muda di sini serta Taman Mutiara, Bukit Raja dan Sungai Kandis di Klang.

“Projek tebatan banjir yang siap baru-baru ini mula menunjukkan kesan seperti pembinaan ban dan penyelenggaraan saliran air dan tebing sungai di Sungai Kandis menyebabkan kawasan itu tidak lagi dilanda bah. Begitu juga kolam takungan air di Taman Mutiara, ia masih belum siap tetapi kawasan itu tidak lagi banjir apabila hujan lebat.

“Kemudian di Taman Sri Muda, pembinaan ban di Sungai Klang dan projek tebatan banjir serta naik taraf pintu air di Sungai Rasau juga mengurangkan kesan akibat banjir. Tetapi, masih ada projek tebatan yang sedang berjalan dijangka menyelesaikan masalah itu di sana,” ujarnya.-UTUSAN.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search