PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Aceh tuntut hak mangsa bencana dipenuhi

Aceh tuntut hak mangsa bencana dipenuhi

BANDA ACEH: Ahli gabungan pertubuhan masyarakat sivil di Aceh melancarkan demonstrasi menuntut kerajaan Indonesia memenuhi keperluan hak asasi bagi mangsa banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa lokasi wilayah itu.

Tuntutan itu disuarakan ahli Koalisi Masyarakat Aceh dalam satu perhimpunan aman di hadapan pintu masuk Dewan Perwakilan Rakyat Aceh (DPRA) semalam.

Dalam demonstrasi itu, peserta membawa poster yang memaparkan aspirasi mangsa bencana, antaranya bertulis ‘Menanti Hak atas Kehidupan yang Layak’, ‘Nyawa Manusia Bukan Barang Jualan’ dan ‘Luka Sumatera, Luka Dunia’.

Penyelaras perhimpunan tersebut, Crisna Akbar berkata, demonstrasi itu sebagai respon terhadap kelewatan kerajaan dalam menangani bencana di tiga wilayah di Pulau Sumatera.

“Koalisi menilai kelembapan pengurusan bencana mencerminkan kegagalan negara melaksanakan tanggungjawab asas terhadap rakyat, khususnya mangsa bencana,” katanya.

Gabungan itu turut mendesak kerajaan pusat mengisytiharkan bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat sebagai bencana nasional, memandangkan skala kemusnahan yang luas, kerosakan infrastruktur strategik serta keterbatasan keupayaan kerajaan daerah dalam pengurusan kecemasan dan pemulihan jangka panjang.

“Pengisytiharan bencana nasional bukan sekadar keputusan pentadbiran, sebaliknya instrumen penting untuk menyelamatkan nyawa, mempercepat pemulihan dan mencegah pelanggaran hak asasi manusia yang lebih besar,” katanya.

Tokoh masyarakat, Bardan Sahidi menegaskan, penduduk di kawasan itu memerlukan bantuan kecemasan seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan. Mereka juga berharap agar akses jalan dan jambatan dapat diperbaiki dengan segera supaya aktiviti harian dapat dijalankan seperti biasa.

Penduduk Aceh turut menggesa kerajaan supaya membenarkan kemasukan 500 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia, ketika mangsa masih bergelut selepas hampir tiga minggu banjir besar melanda wilayah Indonesia itu.

Menurut jurucakap pentadbiran Aceh, Teuku Kamaruzzaman, bantuan yang didermakan oleh komuniti masyarakat Aceh yang menetap di Malaysia itu masih terkandas berikutan kekangan pentadbiran terutama kerana bencana tersebut belum diisytiharkan sebagai darurat nasional.

Indonesia menolak tawaran bantuan rasmi daripada kerajaan asing, dengan Presiden, Prabowo Subianto pada Isnin menegaskan negaranya mempunyai keupayaan mencukupi untuk menguruskan tindak balas bencana sendiri.

“Saya dihubungi ramai pemimpin dunia yang mahu menghantar bantuan. Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka. Kita mampu, Indonesia mampu mengendalikannya,” katanya dalam satu mesyuarat Kabinet.

Menurut beliau, kawasan paling teruk terjejas di Sumatera mungkin memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali normal.-AGENSI

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search