Tanah Highland Towers tidak selamat dijadikan penempatan
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Tapak Highland Towers tidak sesuai dibangunkan semula untuk penempatan kerana ia tidak selamat dan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh sekali lagi.
Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, mana-mana kawasan bercerun yang pernah mengalami tanah runtuh dikategorikan sebagai berisiko tinggi untuk kejadian berulang pada masa hadapan.
Katanya, tragedi Highland Towers berpunca akibat kegagalan cerun akibat tanah tambakan yang tepu air sehingga merosakkan dasar bangunan sekali gus menyebabkan runtuhan.
“Kegagalan ini adalah disebabkan kesilapan manusia yang tidak menstabilkan cerun berhampiran bangunan serta kelemahan dalam memilih jenis pendasaran yang sesuai untuk struktur tersebut.
“Jika cerun distabilkan dengan baik dan pendasaran bangunan dibuat berdasarkan kejuruteraan piawai yang efisien, bencana itu boleh dielakkan,” katanya katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia, Ahad lalu tentang kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor yang pernah menjadi saksi tragedi paling memilukan negara pada 11 Disember 1993 telah terbiar hampir 32 tahun.
Usaha merobohkan dua blok tinggalan kini memasuki fasa paling kritikal apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan proses perundangan bagi tindakan tersebut sedang diselesaikan di peringkat mahkamah.
Ibrahim berkata, secara teknikalnya semua tapak boleh dibangunkan jika faktor kestabilan diberikan perhatian khusus berasaskan pengalaman lepas dan kejuruteraan terbaik.
Walau bagaimanapun, katanya, kos pembinaan akan menjadi jauh lebih mahal di tapak yang kurang sesuai berbanding tapak atau dasar yang stabil untuk pembinaan bangunan tinggi.
Menurut beliau, tapak itu sesuai dijadikan taman peringatan atau kawasan riadah bandar kerana lebih selamat selain mampu mendidik masyarakat mengenai peristiwa hitam tersebut.
“Tapak berkenaan mempunyai nilai sejarah yang signifikan untuk diangkat sebagai ‘tapak warisan’ berkaitan bencana buatan manusia yang pernah menggemparkan negara,” katanya..
Mengulas tempoh lebih tiga dekad sebelum bangunan Highland Towers dirobohkan, beliau berkata, kelewatan tersebut berkait rapat dengan pelbagai kekangan pentadbiran dan perundangan yang kompleks.
“Maklumat terperinci mengenai tempoh itu perlu dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana lazimnya melibatkan masalah pentadbiran, tuntutan, proses mahkamah dan isu perundangan yang mengambil masa panjang untuk diselesaikan,” katanya.
Menurut beliau, dalam kes bencana besar yang melibatkan komuniti dan harta awam, pelaksanaan keputusan penting lazimnya memerlukan tempoh yang lama, khususnya apabila kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama negara.
“Bencana jenis ini pertama kali berlaku dan mereka tiada pengalaman untuk mengambil tindakan penyelesaian jangka panjang. Saya dimaklumkan proses mahkamah sahaja mengambil masa puluhan tahun,” katanya. – UTUSAN
