KPT selaras pendaftaran, salur bantuan RM500 kepada pelajar Indonesia terkesan banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta akan mengambil tindakan segera untuk menyelaras pendaftaran serta penyaluran bantuan berjumlah RM500 seorang kepada pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan akibat banjir yang melanda wilayah Aceh dan Sumatera Utara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata sebagai sebuah negara jiran yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan sejarah persaudaraan yang akrab, KPT menyokong penuh usaha dalam memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian, terutama ketika mereka berhadapan situasi getir jauh daripada keluarga.
"KPT juga akan memastikan semua proses dilaksanakan secara teratur bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
"Pada masa sama, kita turut mengambil maklum situasi rakyat Malaysia yang berada di Aceh, termasuk pelajar kita yang menuntut di beberapa institusi pendidikan di wilayah terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan terjamin, KPT memutuskan satu bentuk bantuan khusus turut dipanjangkan kepada kumpulan pelajar Malaysia yang terkesan selaras dengan semangat kepedulian yang dizahirkan Kerajaan MADANI.
"KPT kini sedang berhubung rapat dengan pihak Education Malaysia (EM) di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh dan menilai tahap keperluan mereka.
"Tindakan susulan akan diambil segera termasuk penyelarasan bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang serta apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan," katanya.
Menurut Zambry, KPT turut mendoakan semua mangsa bencana diberikan kekuatan menghadapi ujian berkenaan dan mendoakan keselamatan seluruh pelajar Malaysia serta masyarakat di Indonesia.
"Kerajaan Malaysia melalui KPT kekal komited untuk memastikan tiada pelajar sama ada warga tempatan atau antarabangsa terbiar tanpa perhatian sewajarnya," katanya.
