Penduduk Rumah Selangorku terkesan banjir mahu penyelesain menyeluruh
- Admin UKK
- Berita
KUALA SELANGOR: Penduduk kecewa Rumah Selangorku dekat Taman Saujana Aman, Ijok, di sini yang dibeli dan diduduki sebenarnya terletak di kawasan risiko banjir.
Menurut seorang penduduk yang juga warga emas, Hamidah Baharum, 66, tapak perumahan yang dibina lebih rendah menyebabkan kawasan yang didiami kerap dilanda banjir, beberapa tahun ini.
“Kami seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada sungai. Kawasan ini dulu pernah banjir semasa dibina. Jadi saya tanya kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), bagaimana mereka boleh beri kelulusan untuk bina rumah-rumah di kawasan ini?
“Jalan raya di hadapan itu tinggi, rumah-rumah lain tinggi. Kami di bawah, kami yang menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke taman perumahan tersebut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Datuk Harrison Hassan.
Seorang lagi penduduk, Suhainida Samsudin, 33, berkata, kebanyakan penduduk yang membeli rumah di sini tidak dimaklumkan bahawa perumahan itu dibina berdekatan dengan sungai dan mempunyai sejarah banjir.
Katanya, mereka mahukan penyelesaian jangka panjang dan bukan lagi pembaikan sementara.
“Apabila ditanya, wakil agensi kata mungkin ‘terkilaf’. Kalau satu projek terkilaf, mungkin boleh faham.
“Tetapi di belakang juga ada projek baru, tidak mungkin terkilaf sehingga tiga kali. Setiap kali banjir, bantuan wang bukanlah perkara yang kami perlukan. Kami perlukan penyelesaian jangka panjang.
“Kami trauma. Setiap kali banjir kami perlu beli perabot baru. Sehinggakan pihak insurans sudah tidak mahu menanggung kerugian kami lagi,” luahnya.
Sementara itu, ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, pihaknya bersama MPKS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju melaksanakan pembaikan jangka pendek sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dijangka siap tahun hadapan.
Katanya, antara pembaikan yang mampu dilakukan ialah meningkatkan tembok konkrit, membaik pulih benteng tanah dan sistem perparitan yang menjadi penyumbang utama masalah banjir berulang.
“Kerja-kerja jangka pendek ini akan bermula awal bulan hadapan dan dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.
“Projek RTB yang sedang dijalankan sejak 2023 merupakan penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan ini. Dengan adanya pembaikan sementara ini, saya harap penduduk dapat menghadapi musim hujan akan datang dengan lebih selamat,” ujarnya. – UTUSAN
