Kemarau: Tambahan RM400,000 untuk bina pam air, telaga tiub
- Farah Natasya
- Berita
Bachok: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM400,000 untuk membina pam dan telaga tiub bagi mengatasi masalah air ketika musim kemarau.
Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu diambil bagi mengatasi masalah utama kepada pesawah yang kekurangan punca air untuk tanaman mereka.
"Kita sediakan pam-pam air ini terutama pada musim kemarau supaya petani dapat mengusahakan tanaman padi mereka.
"Sekiranya pam-pam ini belum mencukupi, kita akan pertimbang untuk menambah lagi pam seperti ini sebelum ada kaedah pengairan yang lebih sesuai pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas meninjau pam air di Kampung Kubang Telaga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata cuaca panas dan kemarau menyebabkan kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berdepan masalah bekalan air apabila Rumah Pam Kemubu tidak dapat mengairi beberapa kawasan tanaman padi di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.
"Keadaan cuaca panas menyebabkan air Sungai Kelantan menyusut sekali gus Pam Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan 16,113 hektar tanaman padi di kawasan terlibat sejak hampir sebulan lalu.
"Sehingga kini, KADA menyediakan tiga pam khas iaitu di kawasan bendang Aur Duri (Kota Bharu Utara), Kg Keling (Kota Bharu Selatan) dan Sungai Kemasin (Bachok) bagi membantu mengairi sawah petani," katanya.
Mohamad berkata KADA juga telah mengagihkan hampir 500 pam mudah alih kepada petani di kawasan KADA.
"Dalam keadaan cuaca panas yang berpanjangan ini, KADA dan petani akan bekerjasama memastikan padi yang mula ditanam pada awal Januari dapat dikutip hasilnya menjelang Mei atau Jun ini.
"Saya ingin ucapkan terima kasih atas kesanggupan petani membina sistem paip sendiri bagi mengelakkan lebih banyak kerugian," katanya. -HARIAN METRO