Keselamatan empangan jadi agenda strategik pembangunan lestari Sarawak
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 5 Nov: Sarawak menjadikan keselamatan empangan sebagai agenda strategik utama dalam merealisasikan aspirasi negeri maju dan berpendapatan tinggi berteraskan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha membangunkan negeri digerakkan melalui keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Usaha kami untuk mendapatkan tenaga hijau dan meningkatkan keselamatan air ialah dua teras strategik utama. Oleh itu, bagi kami, keselamatan empangan bukan sekadar keperluan kejuruteraan tetapi merupakan imperatif strategik PCDS 2030 yang menyokong keseluruhan laluan pembangunan lestari Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-3 Mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME) 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, kelulusan penubuhan Pusat Empangan Negara baru-baru ini di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menandakan satu lagi pencapaian penting Malaysia dalam memperkukuh pengurusan infrastruktur air.
Beliau berkata, pusat berkenaan akan berfungsi sebagai hab penyelarasan pengurusan keselamatan empangan, penyepaduan data dan pembinaan kapasiti bagi memperkukuh kesiapsiagaan institusi serta kecemerlangan teknikal Sarawak dalam mengurus infrastruktur air kritikal.
“Gabungan PCDS 2030, AIR 2040 dan Pusat Empangan Negara mencerminkan hala tuju yang seimbang, di mana peralihan tenaga dan transformasi air bergerak seiring.
“Keselamatan empangan menjadi jambatan yang menghubungkan kecemerlangan kejuruteraan dengan pembinaan negara yang mampan,” ujarnya.
Abang Johari berkata, empangan di Sarawak kini memainkan peranan penting dalam memacu peralihan tenaga lestari negeri.
“Lihatlah Loji Hidroelektrik Batang Ai, saya difahamkan akan ada lawatan teknikal ke loji berkenaan dan saya berharap ramai antara anda menyertainya.
“Empangan bersejarah ini kini menempatkan Ladang Solar Terapung Batang Ai, iaitu pendekatan Hidro-Solar Hibrid membolehkan kita mempelbagaikan sumber tenaga hijau tanpa memerlukan tanah baharu.
“Ia turut mengoptimumkan penggunaan tanah, menjana lebih banyak tenaga bersih daripada satu kawasan serta mengurangkan kadar penyejatan air takungan,” katanya.
Beliau menambah, tenaga yang dihasilkan bukan sahaja menyokong keperluan Sarawak tetapi turut menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau dalam merealisasikan visi Grid Kuasa ASEAN.
Persidangan empat hari itu menghimpunkan jurutera, penyelidik serta pemimpin industri dari seluruh dunia bagi membincangkan inovasi, cabaran dan penyelesaian mampan dalam aspek keselamatan empangan serta pengurusan sumber air, sejajar aspirasi Sarawak menjadi peneraju tenaga hijau di rantau ini.
