PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bimbang lihat cuaca gelap, takut air makin naik

Bimbang lihat cuaca gelap, takut air makin naik

ALOR SETAR: "Saya jadi tak tenteram setiap kali nampak cuaca mendung kerana bimbangkan rumah yang ditinggalkan akibat banjir sejak Sabtu lalu.

"Air naik dengan cepat kerana semalam baru paras buku lali tetapi pagi tadi ketika pulang melihat rumah, air sudah melepasi paras paha," kata Nur Ushadiani Roslan.

Nur Ushadiani, 26, penduduk Kampung Alor Gunung, di sini yang baru mendaftar masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Aman yang baru dibuka malam tadi.

Beliau tinggal di rumah Kampung Alor Gunung bersama empat keluarga yang terdiri daripada tujuh orang termasuk neneknya.

"Namun sejak semalam, dia menumpang di rumah mentuanya di Titi Gajah berhampiran Alor Ganu tetapi air sungai juga naik di rumah itu, hari ini.

 

"Ahli keluarga yang lain datang terus ke PPS ini sejak malam tadi kerana bimbang paras air sungai semakin naik dengan cepat," katanya ketika ditemui di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman, di sini hari ini.

Nur Ushadiani berkata, dia bersama keluarganya sempat mengangkat barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh ke tempat tinggi.

Katanya, ada juga tempat yang sampai paras pinggang kerana di belakang rumah mereka ada sungai.

"Boleh dikatakan setiap tahun rumah kami dilanda banjir tetapi paling teruk tahun lalu sehingga ke paras dada.

"Banjir surut tetapi agak perlahan dan paras sungai masih tinggi malah saya harap tak berlaku hujan lagi malah saya bimbang berlaku banjir termenung.

"Apabila banjir, selain harta benda rosak, paling memenatkan adalah ketika hendak cuci rumah kerana barang yang diselaputi air kotor dan lebih seminggu jugalah nak cuci semua itu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Salmah Ismail, 56, berkata, rumahnya di Kampung Alir Gunung masih digenangi air sehingga ke paras betis sejak kelmarin menyebabkan dia terpaksa berlindung di PPS SK Taman Aman, di sini.

Namun, katanya, banjir kali ini tidak seteruk tahun lalu yang mana rumahnya tenggelam sehingga paras dada.

"Tahun lalu, empat kali juga kami hadap banjir tetapi tahun ini baru kali pertama air masuk rumah.

"Saya dan suami pun sudah dalam keadaan berjaga-jaga kerana daerah Kota Setar biasanya akan banjir apabila air turun dari daerah terjejas lain seperti Padang Terap dan Pokok Sena.

"Saya berharap air surut dengan cepat dan cuaca kekal baik dan kalau boleh, saya tidak mahu duduk lama di PPS ini kerana tahun lalu saya pernah berlindung di PPS selama sembilan hari akibat banjir," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, walaupun paras sungai di kawasan hulu didapati semakin menurun, namun terdapat peningkatan di bahagian hilir iaitu di daerah Kota Setar sebelum mengalir ke laut.

Beliau berkata, meskipun keadaan cuaca semakin baik namun paras sungai di sini menunjukkan peningkatan, jadi saya menasihatkan orang ramai supaya peka dengan keadaan semasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search