Jalan Ling Kai Cheng dinaik taraf atasi masalah banjir
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 25 Ogos: Jalan Ling Kai Cheng yang sering dilanda banjir, khususnya ketika musim tengkujuh dan sambutan Tahun Baharu Cina, bakal dinaik taraf setinggi 75 sentimeter sepanjang satu kilometer bagi mengatasi masalah itu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang berkata, projek bernilai RM3.61 juta itu akan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan dan dijangka siap pada Januari 2026.
“Ia melibatkan kawasan bermula dari simpang Jalan Deshon hingga ke jambatan di sini dengan panjang kira-kira satu kilometer, iaitu bahagian jalan yang sering menimbulkan masalah banjir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek RTP naik taraf jalan itu, di sini hari ini.
Menurutnya, projek berkenaan mendapat pembiayaan RM2.5 juta daripada Premier Sarawak melalui Dana Bantuan Bencana Alam, manakala RM1.11 juta lagi disalurkan melalui dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Kerja naik taraf ini amat penting kerana jalan ini laluan utama yang menghubungkan kawasan Pelawan, Nangka, Bawang Assan serta sebahagian jaringan utama bandar Sibu.
“Kebimbangan penduduk mengenai limpahan air ke kawasan perumahan juga tidak timbul kerana reka bentuk projek ini dilengkapi sistem perparitan yang baik,” jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan memantau pelaksanaan projek bagi memastikan kualiti kerja terjamin serta aliran trafik berjalan lancar sepanjang tempoh pembinaan.
“Sudah tentu akan ada sedikit kesulitan kepada pengguna jalan raya sepanjang kerja menaik taraf dijalankan, namun saya berharap orang ramai bersabar kerana ia adalah proses yang perlu.
“Kita akan cuba menyiapkannya secepat mungkin supaya rakyat dapat menikmati Jalan Ling Kai Cheng yang lebih baik dan selamat,” ujarnya.