Lima kilang haram bakal dikenakan tindakan
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU - Pemilik tanah di kawasan kebakaran stor penyimpanan lori dan minyak enjin di Taman Perindustrian Kota Puteri, berhampiran Taman Megah Ria di sini, bakal dikenakan tindakan kerana membenarkan lima kilang beroperasi tanpa lesen.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, siasatan mendapati terdapat pelanggaran serius membabitkan undang-undang tanah, alam sekitar, keselamatan, pelesenan dan pengurusan sisa.
“MBJB ingin menegaskan bahawa setiap premis perusahaan wajib mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau perusahaan.
“Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan bukan sahaja boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, malah turut mendatangkan risiko terhadap keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini pada Selasa.
Pada 21 Jun lalu, lima premis terbakar dalam kejadian kebakaran industri melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi, yang turut memusnahkan 15 buah kenderaan.
Mengulas lanjut, Mohd Haffiz berkata, kelima-lima kilang yang terlibat beroperasi secara haram tanpa pelan pembangunan sah, selain hanya membabitkan struktur sementara seperti kabin dan bangsal.
Jelasnya, antara langkah segera yang diambil MBJB termasuk membina kolam takungan di kawasan kebakaran bagi mengelakkan minyak memasuki sistem saliran berhampiran serta menyediakan jengkaut bagi mengawal kebakaran di bawah timbunan sisa.
“Hasil pemantauan pada 23 Jun lalu mendapati sisa minyak di saliran dan longkang utama berkurangan selepas tindakan segera Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang meletakkan 'absorbent pad' dan 'oil boom'.
“MBJB turut menyelaras kerja kutipan 'absorbent pad', pembersihan dan penyelenggaraan sisa minyak di kawasan terjejas.
“Sisa minyak itu kini disimpan sementara di Stor Penguat Kuasa Mount Austin sebelum dilupuskan di fasiliti yang ditetapkan JAS,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu pasukan petugas khas akan digerakkan bagi melaksanakan operasi pemutihan secara menyeluruh untuk mengesan kilang yang beroperasi secara haram serta gagal mematuhi peraturan berkaitan pengurusan sisa dan pembangunan.