Varian COVID-19 Omicron lebih mudah berjangkit, rakyat diminta berjaga-jaga - Pakar
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kemunculan sub varian berasal daripada varian COVID-19, Omicron yang lebih mudah berjangkit menyebabkan negara jiran seperti Thailand dan Singapura kini berdepan lonjakan kes akibat virus itu.
Justeru, pakar kesihatan awam menasihatkan masyarakat negara ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga, seperti yang pernah diamalkan ketika pandemik itu sebelum ini terutama bagi golongan yang berisiko.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata sub varian seperti LP.8.1 dan NB.1.8.1 lebih mudah berjangkit, namun kesannya tidak kritikal seperti varian yang dikesan pada peringkat awal pandemik COVID-19.
"Sub varian ini diklasifikasikan sebagai varian di bawah pemantauan (VUM) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Jika dijangkiti, kesannya tidaklah "seganas" yang dulu (varian lama), mungkin individu itu akan mengalami simptom seperti batuk, selsema dan demam ringan, yang akan pulih dalam beberapa hari.
"Bagaimanapun, kita tidak tahu bila varian yang lebih "ganas" muncul. Justeru kita perlu sentiasa membuat pemantauan kendiri dan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya kepada BH, hari ini.
Thailand dan Singapura, baru-baru ini dilaporkan berdepan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak.
Thailand melaporkan 65,880 kes baharu dengan tiga kematian antara 25 dan 30 Mei lalu, manakala Singapura melaporkan anggaran 14,200 kes dari 27 April hingga 3 Mei, meningkat daripada 11,100 kes pada minggu sebelumnya, dengan 133 kes dimasukkan ke hospital.
Semalam, kes COVID-19 di Melaka dilaporkan melonjak lebih 20 peratus apabila sebanyak 93 kes baharu direkodkan pada Minggu Epid 23 (ME 23) iaitu dari 1 hingga 7 Jun lalu.
Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat menasihatkan orang ramai mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat sesak, termasuk jika melancong ke luar negara, selain sentiasa mengamalkan kebersihan diri.
"Golongan yang berisiko tinggi perlu lebih prihatin, seperti golongan komorbid, warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak kerana walaupun golongan ini mengalami batuk serta demam biasa, ia berisiko untuk menjadi lebih teruk," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar, berkata kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat menyebabkan kes COVID-19 lebih mudah dikesan.
"Selain itu, kebelakangan ini, ada banyak pergerakan seperti cuti sekolah dan sambutan perayaan.
"Bagaimanapun, impaknya secara keseluruhan tidak memerlukan banyak kemasukan ke hospital, lebih kepada kawalan simptom yang dialami," katanya.