PAS gesa segera muktamad siasatan kebakaran saluran paip gas Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR – PAS menggesa pihak berkuasa mempercepatkan laporan siasatan berhubung kejadian letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights demi kepentingan awam dan penduduk yang terkesan.
Pengerusinya Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat (HAKS), Khairil Nizam Khirudin berkata, kelewatan melengkapkan siasatan juga boleh menyebabkan Petronas menanggung kos tinggi selain gangguan pembekalan kepada pelanggan.
“Siasatan ini penting untuk mempastikan punca sebenar kejadian letupan tersebut bagi membolehkan langkah keselamatan yang perlu diambil oleh semua pihak bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
“Jika berlaku sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pihak luar terhadap ‘Right of Ways’ saluran paip gas milik Petronas, perkara ini hendaklah diteliti oleh pihak berkuasa dan segera mengambil langkah tindakan dari sudut perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan tersebut dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia manakala siasatan aspek teknikal dan integriti dilakukan oleh pihak berkepentingan seperti Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Bandaraya Subang Jaya dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain itu beliau berkata, siasatan punca teknikal secara komprehensif juga penting kerana saluran paip gas sedia ada terdedah kepada faktor luar seperti perubahan struktur tanah serta mendapan air dalam tanah yang boleh memberi kesan kepada integriti saluran paip tersebut.
“Walaupun reka bentuk kejuruteraan saluran paip tersebut dibuat untuk bertahan lebih daripada 30 tahun tetapi, sebarang faktor luar – seperti mendapan tanah, kesan kerja luaran seperti penanaman paip saluran air berhampiran dengan jajaran paip gas yang berkemungkinan menyebabkan perubahan kedudukan asal saluran paip tersebut boleh menyebabkan potensi berlaku kebocoran.
“Kami bimbang dengan kelewatan siasatan ini menyebabkan Petronas perlu menanggung kos yang semakin tinggi kerana tidak dapat menggunakan jajaran laluan saluran paip tersebut untuk membekalkan gas kepada pelanggannya,” katanya.
Beliau berkata, Petronas Gas Berhad (PGB) yang pada awalnya dijangka menanggung kerugian antara RM18 juta hingga RM35 juta akibat kejadian ini, berkemungkinan menanggung kos lebih tinggi dengan kelewatan siasatan.
“Anggaran ini adalah merangkumi kehilangan hasil, kos pembaikan kerosakan, pampasan awam, dan pengurusan reputasi.
“Sebagai syarikat milik negara, reputasi dan nama Petronas adalah penting untuk dipelihara dan pada masa sama, nasib rakyat yang terkesan dengan tragedi ini perlulah dibela dengan sewajarnya,” katanya.
Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kejadian mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 21 rumah tidak terjejas. – 14 Mei, 2025