PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gubal undang-undang lebih kukuh tangani kesan tragedi perindustrian

Gubal undang-undang lebih kukuh tangani kesan tragedi perindustrian

INSIDEN letupan saluran paip gas di Putra Heights sudah sebulan berlalu, namun masih menimbulkan persoalan undang-undang mengenai tahap kesediaan kerajaan, pihak bertanggungjawab dan apakah langkah kawalan bersesuaian yang perlu dirangka bagi menghadapi bencana perindustrian seperti itu.

Sejumlah 227 rumah dan 365 kenderaan terjejas serta 87 kediaman dilaporkan musnah akibat bencana pada 1 April itu yang menyebabkan mangsa berdepan perjalanan panjang dan rumit bagi mendapatkan pampasan serta sebarang proses pemulihan.

Secara amnya, pemilik rumah boleh mendapatkan pampasan melalui polisi insurans kebakaran. Bagaimanapun, ini hanya boleh dilakukan jika insurans kebakaran rumah dilanggan terlebih dahulu.

Walaupun insurans kebakaran selalunya menjadi prasyarat untuk rumah yang masih di bawah perjanjian pinjaman, pemilik hartanah yang sudah menyelesaikan pinjaman mungkin terlepas pandang insurans kebakaran, menyebabkan mereka terpaksa menanggung sendiri kerugian yang dialami.

Tambahan pula, jika memiliki insurans kebakaran, hanya kerosakan struktur dan pemasangan tetap yang dapat dituntut, manakala barang bernilai tinggi dalam premis seperti komputer riba atau peranti mudah alih umumnya tidak diinsuranskan dan tidak dapat dituntut nilai kerugiannya.

Bagi kenderaan, jika pemilik hanya membeli insurans 'pihak ketiga' untuk kenderaan lama seperti motosikal dan kenderaan komersial, mereka tidak dilindungi kerosakan akibat kebakaran. Hal ini berpotensi menyebabkan ramai tidak mendapat pembelaan kewangan untuk kerosakan kenderaan mereka.
 
Tanggung 'kerugian ekonomi tulen'

Selain itu, gangguan penghantaran gas di kawasan berkenaan juga menjejaskan operasi di kira-kira 200 kilang berhampiran. Dari segi undang-undang, ini contoh 'kerugian ekonomi tulen' dialami mangsa, iaitu kerugian kewangan secara tidak langsung akibat musibah.

Menurut undang-undang Malaysia ketika ini, kerugian sedemikian tidak dapat dituntut kembali. Ia dapat dilihat menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 berhubung kes Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Batu Kemas Industri & Anor.

Ini secara ketara mengehadkan pembelaan undang-undang untuk industri yang terjejas dan menimbulkan persoalan sama ada undang-undang sedia ada memadai untuk situasi kebergantungan ekonomi zon industri moden.

Perhatian umum mula tertumpu kepada peranan dimainkan pemilik saluran paip, Suruhanjaya Tenaga (ST) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beberapa undang-undang utama menggariskan tanggungjawab pihak terbabit menerusi Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501) (Pindaan 2016), Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (Akta 610) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Sebagai pemegang lesen membekalkan gas di kawasan terjejas, pemilik saluran paip bertanggungjawab terhadap keselamatan dan penyelenggaraan pemasangan gas di bawah Bahagian III dan VI Peraturan-Peraturan 1997. Setakat ini, tiada sebarang bukti pemilik saluran paip gagal dalam tanggungjawab ini.

Tugas ST pula dinyatakan dalam Seksyen 4(1) Akta 501, termasuk mandat 'untuk memastikan orang awam dilindungi daripada bahaya yang timbul akibat pengagihan, peruncitan atau penggunaan gas'. Sementara itu, tanggungjawab PBT mengikut Akta 133, termasuk pengeluaran permit untuk kerja penggalian di kawasan berkenaan.

Namun, kekebalan statutori mungkin merumitkan sebarang percubaan untuk mengenakan liabiliti terhadap pihak terbabit. ST dilindungi daripada tindakan undang-undang tertentu mengikut Seksyen 37 Akta 501, manakala PBT dilindungi mengikut Seksyen 95(2) Akta 133.

Walaupun kecuaian kontraktor masih menjadi kemungkinan, perlu diingatkan liabiliti undang-undang tidak boleh ditentukan sehingga siasatan selesai. Jika wujud kecuaian, masih menjadi persoalan sama ada pihak kontraktor mempunyai kemampuan kewangan ataupun perlindungan insurans untuk membayar pampasan pada skala ini.

Ini menekankan kepentingan insurans liabiliti mandatori dan sistem kawal selia yang ketat untuk kerja berisiko tinggi berhampiran infrastruktur kritikal. Maka, penting untuk membangunkan undang-undang lebih kukuh bagi menangani kesan tragedi perindustrian seumpama ini pada masa depan.

 

 

Insiden di Putra Heights mengingatkan kita bahawa sistem perundangan dan kawal selia di Malaysia perlu bergerak seiring kemajuan infrastruktur serta kapasiti industri. Kita perlu memperkukuh perlindungan, menutup jurang insurans dan memperkasa tadbir urus demi melindungi keselamatan nyawa serta mata pencarian.

Penulis adalah Pensyarah Kanan dan Pengarah Program Doktor Falsafah Undang-Undang di Pusat Pengajian Undang-Undang dan Tadbir Urus, Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Taylor's University

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search