PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gempa Bumi Myanmar: Bantuan tetap diteruskan meskipun situasi mencabar – Mohamad Hasan

Gempa Bumi Myanmar: Bantuan tetap diteruskan meskipun situasi mencabar – Mohamad Hasan

TAPAH: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, Malaysia tetap komited menghantar bantuan kemanusiaan ke Myanmar meskipun berdepan cabaran logistik dan keselamatan.

Tindakan itu juga selari dengan permintaan Myanmar yang memohon penangguhan Hospital Medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sepatutnya berlepas semalam.

“Myanmar mohon penangguhan bagi membolehkan lokasi sesuai dikenal pasti untuk penempatan pasukan perubatan.

“Kita akan hantar pasukan lengkap termasuk pakar bedah, pegawai perubatan ATM, dan pembantu mereka.

“Namun, rundingan sedang berjalan untuk turut membawa anggota tentera pengiring bagi menjamin keselamatan mereka, memandangkan kawasan operasi itu tidak stabil dan berisiko tinggi,” katanya.

Datuk Seri Mohamad menegaskan bahawa bantuan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap kerajaan junta Myanmar, sebaliknya ia dilakukan atas dasar kemanusiaan.

“Kita melaksanakan misi ini atas semangat kemanusiaan sejagat, di bawah penyelarasan ASEAN, Sekretariat ASEAN, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), dan negara-negara serantau lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa pemulihan Myanmar dijangka mengambil masa yang panjang dan semua pihak harus melihat kepada masa depan negara itu secara menyeluruh, bukannya terperangkap dalam konflik antara puak yang bersengketa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis minum petang bersama penduduk Kampung Batu Tiga di Air Kuning, hari ini.

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search