Sudah seminggu 'banjir termenung' tak surut-surut
- Admin UKK
- Berita
PONTIAN – Keadaan banjir termenung di Kampung Sungai Besar, Benut di sini, yang berlarutan sejak seminggu lalu terus meresahkan penduduk yang masih berteduh di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).
Penduduk, Abdul Rahim Omar berkata, hujan lebat sejak seminggu lalu menyebabkan rumahnya digenangi air dan sehingga kini masih belum surut sepenuhnya.
"Kami sekeluarga terus diuji pada petang Ahad lalu apabila hujan turun semakin lebat, menyebabkan rumah dinaiki air sehingga paras 0.5 meter dan terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinaran Tampok," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pekebun sawit itu berkata, kawasan kampungnya tidak pernah dilanda banjir sejak 2006, selepas kejadian banjir besar yang melanda ketika itu.
"Banjir tidak surut lagi, risau barang dalam rumah rosak. Walaupun kami sudah dibenarkan pulang dari PPS pada pagi Rabu, tetapi perasaan bimbang banjir berulang tetap ada.
"Saya dan anak mengangkat peti ais serta mesin basuh ke tempat lebih tinggi, takut kalau petang ini hujan, rumah akan dinaiki air lagi," katanya.
Ditanya mengenai persiapan raya, Abdul Rahim mengakui tidak banyak persiapan yang dibuat kerana rumahnya sudah dinaiki air sejak seminggu lalu.
"Ada sedikit kuih raya yang sudah dibeli. Itu pun selamat daripada banjir sebab diletakkan di rak yang tinggi.
"Rasanya sekarang ini, tiada semangat hendak sambut raya sebab risau banjir berulang disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan turun pada setiap petang," katanya.
Justeru, beliau berharap parit dan sistem saliran di kampung dapat diselenggara dengan baik bagi memastikan aliran air lancar sekali gus mengelakkan kejadian banjir.