500 metrik tan sisa pukal mangsa banjir dijangka dikutip hingga akhir Ramadan
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Sebanyak 500 metrik tan sisa pukal banjir dijangka dikutip dalam Operasi Pembersihan Pasca Banjir dari kawasan terjejas banjir membabitkan Bandaraya Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Iskandar Puteri.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata operasi yang membabitkan 200 tenaga kerja dan 40 jentera telah bermula sejak Jumaat lalu.
Dalam tempoh lima hari operasi dijalankan, lebih 250 metrik tan sisa banjir seperti almari, katil dan tilam yang rosak telah dibersihkan di kawasan terjejas.
"Kita jangkaan hingga hari Sabtu ini, anggaran kurang seminggu sebelum Syawal sebanyak 500 metrik tan sisa dapat dibersihkan.
"Kalau lihat dari segi pembersihan yang dijalankan dalam tempoh lima hari, kita mengutip 250 metrik tan sisa banjir dengan purata sehari 50 hingga 60 metrik tan.
"Antara kawasan kutipan sisa yang tinggi adalah di Taman Tampoi Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kampung Seri Jaya dan Kampung Seri Serdang," katanya ketika melihat perkembangan Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Villa Rose, Taman Tampoi Indah, hari ini.
Menurut Mohd Norlisam, sebahagian besar sisa pukal yang dibersihkan adalah perabot, katil, tilam, sofa dan almari pakaian.
"SWM Environment juga bersedia untuk menerima permohonan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang rosak atau hanyut akibat banjir secara percuma," katanya.