Public Bank tawar bantuan bayaran balik pinjaman pelanggan terjejas banjir di Johor
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bayaran balik untuk pelanggan pinjaman dan pembiayaan yang terjejas oleh bencana banjir di Johor.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata bencana banjir di Johor baru-baru ini menyebabkan ramai orang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian.
Justeru, beliau berkata, Public Bank terus komited untuk meringankan beban pelanggan yang terjejas.
"Bantuan kewangan ditawarkan kepada pelanggan yang mengalami kerosakan dan kerugian akibat banjir," katanya dalam satu kenyataan.
Bantuan bayaran balik itu, yang turut ditawarkan kepada daerah lain yang terjejas banjir yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan dilanda bencana banjir di negara ini termasuk penangguhan ansuran bulanan bagi pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan.
Ia juga termasuk pengecualian caj bagi penggantian dokumen berkaitan perbankan, misalnya kad bank, buku akaun bank dan resit Deposit Tetap/Deposit Bertempoh-i yang telah musnah atau hilang semasa banjir.
Public Bank berkata, kerjasama segera telah dibuat dengan syarikat subsidiari kumpulan, Lonpac Insurance Bhd untuk proses tuntutan segera oleh pelanggan yang terjejas bagi kerugian yang dilindungi di bawah polisi insurans yang ditaja jamin oleh Lonpac.
Pelanggan yang terjejas oleh banjir dinasihatkan agar menghubungi bank untuk bantuan bayaran balik.
Selain itu, Public Bank juga adalah institusi kewangan yang mengambil bahagian dalam Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia.
Kemudahan itu bertujuan untuk pembaikan dan/atau penggantian aset bagi kegunaan perniagaan seperti loji dan jentera yang telah rosak akibat banjir, serta untuk keperluan modal kerja.
Pelanggan yang ingin memohon bantuan bayaran balik atau memerlukan maklumat lanjut, boleh kunjungi cawangan Public Bank atau hubungi talian am bank melalui 03-2170 8000.
Bagi perkara berkaitan dengan tuntutan insurans, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Lonpac melalui 03-2262 8688.