Banjir di Johor makin buruk, lebih 13,000 mangsa di 95 PPS
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor makin buruk dengan bilangan mangsa banjir terus meningkat melebihi 13,000 orang yang ditempatkan di 95 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.
Setakat jam 8 pagi tadi, semua daerah di negeri ini dilaporkan hujan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 13,089 orang terdiri daripada 3,749 keluarga berbanding 12,686 orang daripada 3,709 keluarga pada malam tadi.
Beliau berkata, bilangan mangsa banjir di Johor Bahru terus meningkat kepada 5,402 orang (1,532 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif, diikuti Kluang 2,458 orang (708 keluarga) yang ditempatkan di 22 PPS dan Pontian 1,782 orang (488 keluarga) di 21 PPS.
"Daerah Kota Tinggi menunjukkan peningkatan kepada 1,690 orang (491 keluarga) yang berlindung di 15 PPS manakala di Kulai mangsa banjir 1,531 orang (460 keluarga) di lapan PPS.
"Batu Pahat turut dilanda banjir dengna 226 mangsa (70 keluarga) dengan satu lagi PPS diaktifkan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Kluang sudah ditutup.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat dan Kluang pagi ini, namun tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau dan Sungai Pulai sahaja yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Terdapat tiga jalan yang terputus hubungan iaitu dua di Kota Tinggi dan satu di Segamat.
Jalan Lukut Cina di Taman Aman, Kota Tinggi yang terjejas denganbanjir ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat arus deras dengan Jalan Johor Bahru - Endau dekat LGM atau Bukit Samsu menjadi laluan alternatif.
Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi juga ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana arus deras dan laluan alternatif adalah di Jalan Lok Heng atau Jalan Mawai atau Sungai Mas.
Jalan Jabi, Bukit Tempurung di Segamat pula ditutup untuk semua jenis kenderaan, namun tiada laluan alternatif.