PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Nak beraya macam mana, semua dah tenggelam - Mangsa banjir

Nak beraya macam mana, semua dah tenggelam - Mangsa banjir

Batu Pahat: Persiapan menyambut Aidilfitri sudah siap sepenuhnya namun seorang ibu diuji apabila rumah mereka di Kampung Parit Haji Abd Hamid, di sini ditenggelami air, hari ini.

Jamiah Ahmad, 68, antara mangsa banjir yang dipindahkan, 11.20 pagi, hari ini berikutan beberapa kawasan di daerah ini mula dinaiki air.

 

Ketika ditemui, dia yang baru tiba dari Johor Bahru, 8 pagi tadi kelihatan sayu dan sesekali kelopak mata digenangi air mata mengenangkan kediamannya yang tenggelam setinggi paras paha.

"Sebelum meninggalkan rumah, saya sudah siap mengemas, kerana nak sambut Aidilfitri. Tapi, dapat panggilan rumah dah tenggelam, barangan dalam rumah pun tak sempat diselamatkan.

"Ikutkan perancangan kami akan beraya di rumah ini kerana setiap tahun ia menjadi lokasi kami sekeluarga berkumpul. Jadi, atas sebab itulah saya membuat persiapan awal ketika berada di Johor Bahru.

"Tetapi, saya diuji dengan bencana banjir. Saya reda kerana ada hikmah di sebalik kesukaran dihadapi ini," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana, di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Musa Ismail, 69, berkata, dia baru sahaja memasang tikar di ruang dapur sebagai persiapan menyambut lebaran.

Peniaga makanan itu berkata, air mula memasuki rumahnya pagi semalam selepas hujan tidak berhenti lebih 24 jam.

"Masa kami tengah memasak makanan untuk dijual ketika berbuka, air sudah mula masuk dalam rumah.

"Tengok keadaan sebegini, saya pun tak tahu nak sambut lebaran macam mana. Kalau sambut pun cukup ala kadar. Banjir ini entah sampai ke hari raya ataupun tidak, kita pun tak tahu.

"Ini kali pertama rumah kami dilanda banjir. Masa banjir besar 2023 lalu, rumah kami terselamat tapi kali ini, saya terima dengan lapang dada," katanya yang berpindah sejak malam tadi.

Setakat 1 tengah hari, 228 mangsa banjir di Batu Pahat dipindah ke dua PPS iaitu SMK Suria Perdana dan Dewan Orang Ramai Tongkang Pechah.

Mereka dari tujuh kampung antaranya, Parit Haji Abd Hamid, Parit Semarang, Parit Nipah, Parit Lapis Semarang, Parit Kuari, Parit Londang dan Parit Seri Paya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search