Sesi pembelajaran 20 sekolah terjejas
- Admin UKK
- Berita
Sesi pembelajaran 20 sekolah di daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi terjejas akibat banjir, susulan hujan berterusan sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata daripada 20 sekolah yang dilaporkan terjejas, tujuh daripadanya dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dua dinaiki air dan 11 terputus hubungan.
Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Kampung Maju Jaya dekat Johor Bahru dilaporkan dinaiki air dan operasi sekolah dihentikan sepenuhnya.
“SK Perigi Acheh di Johor Bahru dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Nam Heng di Kota Tinggi serta sembilan sekolah di Kluang dilaporkan terputus hubungan.
“Tujuh sekolah dihentikan operasi bagi memberi laluan untuk dijadikan PPS menempatkan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPS di SK Bukit Mutiara, di sini semalam.
Aznan berkata, semua sekolah yang diwartakan sebagai PPS kini dalam keadaan siap sedia memandangkan hujan masih berterusan dengan banjir dijangka memburuk.
“Setiap daerah memang ada sekolah yang diwartakan untuk dijadikan PPS dan diminta bersedia kerana mungkin bila-bila masa akan ada mangsa banjir akan ditempatkan.
“Kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan Persekutuan supaya PPS membabitkan sekolah bersedia lebih awal jika berlaku banjir.
“Dari segi kerjasama dengan agensi berkaitan, kita sudah lakukan secara berterusan dan akan beri bantuan,” katanya.
Aznan menegaskan, walaupun sesi pembelajaran tidak berlangsung di sekolah terjejas, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) akan dilaksanakan.