Hajiji, Shamsul Iskandar tinjau situasi banjir di Beaufort hari ini
- Admin UKK
- Berita
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dijadual meninjau situasi banjir besar di Beaufort dan melawat mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu, hari ini.
Selain itu, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut dijadual melawat mangsa di Beaufort dan Membakut.
Hajiji dan Shamsul Iskandar dijadual melawat PPS Dewan DSP Mohd Dun Banir di Beaufort pada jam 9 pagi ini, sebelum meninjau situasi banjir di pekan Beaufort dan sekitarnya.
Dewan berkenaan adalah antara tujuh PPS dibuka di Beaufort berikutan banjir yang melanda sejak Jumaat lalu dan menempatkan paling ramai mangsa dengan 412 orang daripada 147 keluarga setakat jam 4 pagi ini.
Enam lagi PPS ialah Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon (376 mangsa), Dewan Bisaya (212 mangsa), Dewan Residensi Prima (203 mangsa), Dewan Kukut (136 mangsa), Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beaufort (266 mangsa) dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort 3 (114 mangsa).
Secara keseluruhan, seramai 1,719 mangsa banjir daripada 556 keluarga dipindahkan di Beaufort sejak Jumaat lalu hingga jam 4 pagi ini, menjadikan Beaufort paling ramai pemindahan mangsa banjir daripada empat daerah di pedalaman Sabah yang dilanda bencana itu setakat ini.
Tiga lagi daerah yang dilanda banjir ialah Tenom (1,119 mangsa), Membakut (914 mangsa) dan Sook (778 mangsa).
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan dari keempat-empat daerah itu setakat jam 4 pagi ini ialah 4,530 orang daripada 1,488 keluarga.
Secara keseluruhan sebanyak 29 PPS dibuka di keempat-empat daerah berikutan banjir yang berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman Sabah yang menyebabkan limpahan air sungai utama, khususnya Sungai Padas di Tenom dan Beaufort serta Sungai Membakut di Membakut.
Hujan lebat berterusan dengan kadar yang tinggi mencecah 200 milimeter (mm) berbanding kadar biasa kira-kira 50mm, selain fenomena air pasang tinggi hingga mencapai 2.5 meter punca utama banjir besar di daerah terbabit.